arena

Malaysian Tigress hilang fokus

Oleh Naqib Nor Said

KESILAPAN melepaskan dua gol dalam tempoh tiga minit terakhir menafikan peluang Malaysia melakar kejutan dalam aksi sulung Piala Asia apabila tewas 5-4 kepada China di Stadium Kawasaki Jyukou di Jepun, sebentar tadi.

Kekalahan itu meletakkan skuad hoki wanita negara dalam situasi sukar untuk mara ke pusingan suku akhir sebagai dua pasukan teratas Kumpulan A ketika slot itu turut menjadi buruan India yang turun berdepan Singapura, petang ini.

Kini, anak buah Dhaarma Raj Abdullah wajib mencari kemenangan pada dua aksi seterusnya bermula dengan pertemuan menentang pasukan ranking ke-40 dunia, Singapura esok dan India (12) pada Selasa ini.

Hanya kemenangan dapat memastikan Malaysian Tigress meraih laluan mudah di suku akhir kerana saingan edisi kesembilan ini mengguna pakai format “çrossover.”

Biarpun mengejutkan pasukan ranking kelapan dunia itu dengan kebangkitan luar biasa pada 20 minit terakhir apabila mengejar daripada ketinggalan 1-3 dan kemudian mendahului 4-3, tetapi gara-gara kehilangan fokus menyebabkan mereka tumpas.

Pemain negara kelihatan berada dalam keadaan tertekan selepas lawan hanya memerlukan tujuh minit untuk selesa mendahului 2-0 menerusi gol pukulan sudut penalti Ye Jinping dan Zhong Jiaqi.

Pertahanan negara, Siti Rahmah Othman kembali merapatkan jurang pada minit ke-18 sebelum China sekali lagi melebarkan kedudukan kepada 3-1 hasil jaringan padang Chen Yi, lapan minit kemudian.

Namun, tiga gol dalam tempoh 10 minit masing-masing menerusi Nurul Nabihah Mansur (45) dan Hanis Nadiah Onn (48, 55) meletakkan pasukan di ranking ke-22 itu di ambang kemenangan sebelum misi itu digagalkan China menerusi dua jaringan emas, Yuan Meng dan Liang Meiyu.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 3:53pm
d