arena

Pescao mahu balas kepercayaan peminat

Oleh Saiful Affendy Sapran

PELUMBA Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah berpotensi menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik sekali gus mengulangi pencapaian tahun lalu apabila berjaya mencatat masa ke-11 terpantas pada sesi kelayakan Kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia hari ini sekali gus bermula di barisan keempat esok.

Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu mencatat masa sepusingan terpantas 2 minit 07.137 saat, hanya ketinggalan 0.731s di belakang pelumba Marc VDS, Franco Morbidelli yang mencatat masa terpantas sekali gus menyambar petak pertama esok.

“Ini petak kedua terbaik saya musim ini selepas bermula di petak keenam di GP Jepun. Sebenarnya saya sasar untuk berada di barisan ketiga tapi barisan keempat sudah cukup bagus.

“Apa pun tahap keyakinan saya cukup tinggi. Saya mahu membalas sokongan padu peminat terhadap saya di sini dengan keputusan yang baik pada perlumbaan esok,” katanya.

Hafizh yang akan beraksi bersama pasukan baru, PETRONAS Sprinta Racing musim depan berkata, apa yang penting dia perlu berhati-hati seawal selekoh pertama pada perlumbaan esok.

“Biasanya permulaan perlumbaan agak sukar. Saya perlu pastikan dapat kekal dengan kelompok depan.

“Jika tidak saya akan bergelut dan sukar untuk mengejar pelumba di depan.

“Saya tak pasti bagaimana keadaan cuaca esok tapi ia pastinya cukup mencabar jika berlumba dalam litar kering dan mungkin memberi sedikit kelebihan andai berlumba di litar basah,” kata pelumba yang mendapat gelaran Pescao.

Seorang lagi pelumba negara Khairul Idham Pawi yang beraksi bersama Idemitsu Honda Team Asia akan bermula di petak ke-23.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 5:50pm
d