arena

Kecederaan sekat hajat Winnie

Oleh Farah Azharie

FAKTOR kecederaan dan kurang bersedia menjadi punca prestasi hambar Winnie Ng pada pusingan ketiga LPGA Malaysia Sime Darby apabila mencatat empat atas par 75 di TPC Kuala Lumpur, hari ini.

Winnie, 16, bermula dari lubang ke-10 dan membenam dua birdie dan dua bogey namun pada sembilan lubang terakhir, juara Terbuka Amatur Kelantan 2015 itu mula terasa sakit.

“Selepas melepasinya, saya berasa letih dan merasakan permainan itu amat sukar buat saya, hilang jarak dan bola seperti hilang arah,” kata Winnie yang muncul pemain terbaik negara selepas 54 lubang.

“Cuaca amat panas dan mungkin saya tidak bersedia untuk keseluruhan minggu ini kerana saya hanya mula berlatih sejak minggu lalu.”

Winnie, yang pernah menjuarai Siri Faldo Asia Malaysia jelas kecewa dengan catatan empat atas par keseluruhan 217 bagi menamatkan saingan di kedudukan ke-56 namun meletak sasaran untuk melakukan yang terbaik pada pusingan akhir esok.

“Mungkin saya perlu berehat untuk esok dan saya akan meneruskan perancangan saya iaitu bermain secara berwaspada dan terus berharap untuk hanya yang terbaik saja,” kata pemain golf amatur itu.

Penamat kedua terbaik oleh pemain Malaysia adalah Natasha Andrea Oon dan pemain profesional LPGA, Kelly Tan apabila mencatat keputusan 11 atas par 224 untuk berkongsi kedudukan ke-68 bersama pemain Amerika Syarikat, Tiffany Joh.

Natasha memulakan kempennya dengan satu atas par 72 untuk mendahului penguasaan Malaysia bersama-sama Nur Durriyah Damian dan Winnie pada hari pertama kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$1.8 juta (RM7.6 juta) namun sedikit hambar pada pusingan ketiga.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 6:12pm
d