arena

Futsal lelaki gagal hapus badi Thailand

Oleh Aziman Rosdi

HAJAT Hajat skuad lelaki negara untuk membalas dendam kekalahan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tidak kesampaian apabila mereka kecundang 3-6 kepada Thailand pada Kejohanan Futsal AFF 2017 di Ho Chi Minh, Vietnam hari ini.

Walaupun tewas, skuad kendalian Chiew Chun Yong tetap berjaya mara ke separuh akhir apabila menamatkan kempen Kumpulan B di tangga kedua dengan enam mata, mengiringi Thailand yang memenangi semua tiga perlawanan.

Pertemuan Malaysia-Thailand itu yang pertama selepas kedua-dua pasukan berentap dalam aksi terakhir acara futsal Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu yang menyaksikan pasukan tuan rumah tewas 3-4.

Kekalahan itu menyebabkan skuad negara terlepas pingat emas kepada Thailand.

Dalam saingan Kejohanan AFF di Stadium Tertutup Phu Tho hari ini, anak buah Chun Yong ketinggalan enam gol dalam tempoh setengah jam kepada pasukan juara bertahan itu menerusi jaringan Muhammad Osamanmusa pada minit ke-11 dan 15, Ronnachai Jungwongsuk (m-12) Nattavut Madyalan (m-25), Weerasak Srichai (m-27) dan Warut Wangsama-aeo (m-30).

Malaysia cuba bangkit memberi saingan hasil percubaan Khairul Effendy Bahrin di minit ke-29 dan 32, serta Azwan Ismail (m-34).

Malaysia menanti lawan di separuh akhir iaitu juara Kumpulan A yang kemungkinan diisi Indonesia atau Vietnam pada 1 November ini.

Pada perlawanan awal kumpulan, skuad negara membelasah Timor Leste 7-2 dan Laos 6-3.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 7:19pm
d