arena

Khairy kesal kes doping

Oleh Jumiati Rosly

MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar meluahkan nada kekesalannya terhadap kes doping yang masih berlaku dengan membabitkan kes atlet senior seperti Wendy Ng.

Khairy berkata, penerangan kesedaran mengenai bahayanya doping terutama sekali mengenai pengambilan makanan tambahan tanpa pengetahuan Institut Sukan Negara juga sudah sering kali ditekankan.

“Setiap kali ada kes doping memang jadi pengajaran kepada kita. Saya risau kes berulang kerana bahan yang Wendy ambil sama dengan yang diambil atlet wushu (Tai Cheau Xuen) ketika Sukan Asia 2014.

“Bahan itu untuk kawal berat badan bukan meningkat prestasi dan banyak penerangan sudah diberi. Wendy bukan atlet baru tapi sudah menjadi atlet senior, kalau dia ada alasan, saya tak tahulah apa alasan dia,” katanya selepas menyaksikan kejohanan terjun Grand Prix Kuala Lumpur FINA di Pusat Akuatik Nasional, hari ini.

Wendy yang memenangi dua pingat emas pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine sama seperti kes Cheau Xuen apabila pingat emasnya di Sukan Asia Incheon 2014 ditarik balik.

Cheau Xuen dikenakan hukuman penggantungan empat bulan selain pingatnya ditarik balik.

“Mana-mana atlet yang positif doping akan diberikan satu peluang sesi pendengaran untuk menjelaskan situasi yang berlaku dan membela diri bagaimana bahan itu boleh ada dalam tubuh mereka di peringkat persatuan, sebelum ditentukan tindakan.

“Saya serahkan kes ini kepada ASUM (Persatuan Renang Amatur Malaysia) untuk proses dan hukuman,” katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 7:24pm
d