arena

Skuad Wallace buru tempat ketiga

Oleh Rizar Mohd Noor

SKUAD remaja negara gagal mencetus keajaiban untuk sekurang-kurangnya mencari keputusan seri apabila tewas 1-3 kepada juara bertahan, Australia pada aksi kejohanan hoki Piala Sultan Johor di Johor Bahru, hari ini.

Apa pun ketua jurulatih skuad remaja negara, Wallace Tan tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemainnya yang memberi saingan sengit kepada Australia sebelum tewas dan akan berdepan India bagi penentuan klasifikasi tempat ketiga-keempat petang esok.

“œPemain menunjukkan peningkatan apabila kerap melakukan serangan tapi penyudah tidak tepat menggagalkan usaha kami untuk sekurang-kurang mencari keputusan seri malah dua penalti stroke yang dihadiahkan kepada Australia menyentap semangat barisan pemain saya.

“Kelebihan jaringan yang kami miliki membolehkan kami mengatasi Jepun dan sekali lagi akan menentang India dan saya optimis kami mampu buat kejutan selepas pada aksi lalu sekadar seri 1-1 dan akan berusaha untuk menamatkan kejohanan di tangga ketiga sekali gus memperbaiki pencapaian tempat kelima tahun lalu,” kata Wallace.

Walaupun penguasaan jelas milik skuad kendalian Brent Livermore yang meraih tiga pukulan sudut penalti namun masih belum mampu merungkai jaringan malah skuad remaja juga terlepas mencipta jaringan pada minit ke-11 apabila pukulan sudut penalti Firdaus Omar tersasar.

Namun di hujung suku pertama, akibat berlaku kekasaran dalam kawasan D tuan rumah, pengadil Benjamin Peters dari Amerika Syarikat tidak teragak-agak menghadiahkan penalti stroke dan kapten Nathanael Stewart mudah menewaskan penjaga gol, Zaimi Mat Deris.

Malang terus menimpa tuan rumah pada minit ke-33 selepas bola umpanan Andrew Scanlon mengelirukan Zaimi menyaksikan Jacob Anderson yang tidak dikawal mudah menolak bola ke gawang yang terbuka luas.

Namun tuan rumah merapatkan jurang gol pada minit ke-51 selepas Azrai Abu Kamal bijak melepasi benteng Australia sebelum bertindak melakukan pukulan kilas menewaskan penjaga gol George McGeoch.

Bagaimanapun, sisa perjuangan skuad remaja negara dilenyapkan skuad Burras selepas pengadil, Ian Diamond menghadiahkan penalti stroke kedua pada minit ke-57 dan Scanlon mudah menolak masuk menewaskan Zaimi untuk memastikan Australia melangkah ke final edisi ketujuh sekali gus berpeluang mempertahankan kejuaraan.

KEPUTUSAN LAIN

Britain 2 -1 India

Jepun 14 -0 Amerika Syarikat

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 11:21pm
d