arena

Hazard kembali meledak

Oleh Reuters

BOURNEMOUTH: Jaringan Eden Hazard pada babak kedua sudah cukup buat penyandang juara Chelsea mencipta kemenangan 1-0 dalam Liga Perdana mengatasi Bournemouth yang bergelut malam tadi.

Pemain Belgium itu yang menjadi menghadirkan ancaman utama buat Chelsea sepanjang perlawanan, menghukum pertahanan lemah tuan rumah enam minit selepas rehat apabila dia meledak melepasi Asmir Begovic untuk gol ketiganya dalam tiga perlawanan terakhir buat kelab London

Pasukan tangga kedua dari bawah, Bournemouth juga sentiasa cuba membalas dan pengurus Chelsea, Antonio Conte tampak lega apabila wisel penamat ditiup dekat pesisiran pantai selatan itu.

Ia adalah kemenangan penting buat Chelsea yang kekal di tangga keempat dengan 19 mata, sembilan mata di belakang pendahulu Manchester City.

“Saya rasa kami berhak menang kerana kami bermain bola sepak yang bagus,” kata Conte.

“Untuk terus mempertahankan keputusan 1-0 boleh menjadi berbahaya. Saya rasa jika saya perlu mencari aspek negatif, kami boleh menjadi lebih bagus.”

Jaringan Alvaro Morata tidak dikira dan cubaannya dinafikan Begovic pada babak pertama dengan Bournemouth tampak selesa mengatasi serangan pelawat.

Chelsea mendahului pada minit ke-51 apabila pertahanan tuan rumah Simon Francis gagal mengeluarkan bola dan Hazard mengambil peluang menewaskan Begovic.

Bournemouth membalas dengan melancarkan serangan tetapi kurang sentuhan jaringan dan satu-satunya percubaan ke sasaran ialah pada penghujung permainan apabila sepakan Steve Cook terus ke dakapan Thibaut Courtois.

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 12:31pm
d