arena

Kolasinac julang Arsenal

Oleh Reuters

LONDON: Arsenal bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Swansea City 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris malam tadi ketika jaringan babak kedua Sead Kolasinac dan Aaron Ramsey membantu pasukan itu mengatasi pelawat yang tempang akibat kecederaan.

Pelawat yang beraksi tanpa penyerang yang cedera Wilfried Bony, pemain tengah Renato Sanches dan pertahanan Martin Olsson, mendahului pada minit ke-22.

Sam Clucas berlari untuk menerima hantaran Tammy Abraham dan meledak mengatasi penjaga gol Arsenal, Petr Cech.

Pertahanan kiri Arsenal dari Bosnia, Kolasinac menyamakan kedudukan pada minit ke-51 dan mengumpan buat Ramsey seterusnya meletakkan pasukan itu di depan pada minit ke-58 dengan jaringan ketiganya musim ini.

Pengurus Arsenal, Wenger memuji Kolasinac, yang menyertai kelab itu menerusi perpindahan percuma dari kelab Jerman, Schalke tahun ini kerana membantu pasukan itu kembali menguasai permainan.

“Kolasinac bermain dengan amat baik hari ini,” katanya kepada wartawan. “Sejak kehadirannya dia meyakinkan sesiapa saja yang dia adalah pemain bagus, dan secara keseluruhan apabila anda melihat kualiti persembahannya sekali lagi hari ini, anda lihat masih ada sesuatu yang bagus boleh dilakukan.”

Kolasinac dikeluarkan berikutan sedikit kecederaan pinggul pada minit ke-78 namun Wenger berharap dia boleh bersama pasukan bagi berdepan pendahulu liga Manchester City.

“Kami harap dia cergas untuk Ahad depan. Dia sudah mengalaminya sebelum ini, dan kami mahu dia sentiasa boleh bermain,” kata Wenger.

Jurulatih Swansea, Paul Clement tetap mengambil positif perlawanan itu dan memuji permainan kreatif Abraham untuk gol pembukaan.

“Kami sentiasa memberikan tentangan sehingga penghujung permainan. Apabila anda memiliki seseorang seperti dia (Abraham) anda percaya boleh mendapat satu lagi peluang,” katanya.

“Malangnya pada penghujung kami tidak mendapat peluang itu,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 1:04pm
d