arena

Nidzam puji aksi pemain muda

Oleh Izzali Ismail

KETUA jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff memuji barisan pemain mudanya yang mempamerkan aksi memberangsangkan ketika mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-0 di Stadium Darul Aman malam tadi.

“Mereka menunjukkan prestasi yang begitu baik dan patut diberi pujian. Saya lihat dua tiga pemain muda dapat bermain seperti senior bermain,” kata Nidzam.

“Kedah tidak akan ketandusan pemain muda dan mereka ada potensi untuk masa depan bermain di Kedah, cuma saya harap mereka berkerja lebih keras di masa hadapan kerana kumpulan pemain muda inilah yang akan menyinar dalam masa tiga ke empat tahun lagi.

“Kita boleh lihat kualiti yang ada pada pemain JDT agak baik dan saya rasa pemain saya memberi persembahan terbaik untuk memberi tentangan dan itu sudah memadai untuk kami.

“Apapun saya rasa bersyukur dengan keputusan tidak tewas pada perlawanan akhir Liga Super di Darul Aman pada malam ini (malam tadi).”

Ditanya berkenaan persiapan menjelang final Piala Malaysia, Nidzam berkata latihan lebih serius akan dijalankan dan setiap aspek permainan akan dipertingkatkan mengikut corak taktikal yang dirancang.

“Saya jangkakan latihan akan berjalan dengan lancar kerana pemain bebas kecederaan kecuali penyerang Ken Ilso (Larsen) yang masih cedera di tumit kanan. Saya harap dia pulih dalam kadar segera.

“Ken Ilso direhatkan sejak perlawanan separuh akhir kedua menentang FELDA United pada 21 Oktober lalu dan dilaporkan beransur pulih.

“Kita tahu semangat dan moral pemain akan melonjak menjelang aksi final nanti dan saya yakin pemain akan mempamerkan prestasi terbaik mereka,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 4:03pm
d