arena

Conte akui sukar kejar City

BOURNEMOUTH: Antonio Conte mengakui Chelsea berdepan cabaran sukar untuk mengejar jurang sembilan mata dengan pendahulu Manchester City sekali gus mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.

Kemenangan 1-0 di Bournemouth malam tadi memastikan anak buah Conte tidak terus tercicir di belakang skuad kendalian Pep Guardiola dan bagi Conte, ia menyuntik keyakinan buat kelab London itu menjelang kunjungan Liga Juara-Juara ke laman AS Roma.

Pengendali dari Itali itu tidak mahu memandang terlalu jauh dan memberi amaran mengenai kesukaran yang bakal dihadapi Chelsea untuk mengukuhkan tempat dalam kelompok empat teratas Liga Perdana sebelum meletakkan sasaran lebih tinggi.

“Buat masa ini kami perlu realistik dengan menghadapi perlawanan demi perlawanan,” kata Conte. “Kami mempunyai 19 mata dan berhak mendapat 19 mata. Kami teratas dalam kumpulan Liga Juara-Juara.

“Kami mara ke pusingan seterusnya Piala Carabao (Liga) selepas tersingkir di pusingan kedua musim lalu. Saya sangat gembira dengan kumpulan ini. Ada pemain yang sangat jujur, pemain yang mahu berjuang hingga ke akhir untuk sesuatu yang penting.”

Berkenaan sasaran kekal dalam kelompok empat teratas, Conte berkata: “Adakah kami mampu melakukannya? Saya tidak tahu. Tetapi kami akan cuba kekal di sana. Saya cukup faham, liga di England ini mempunyai enam pasukan yang sangat kuat.

“Empat akan mara ke Liga Juara-Juara. Dua bermain di Liga Europa. Musim lalu kami menyaksikannya. Ia sangat sukar.”

Jaringan minit ke-51 Eden Hazard memastikan kemenangan buat Chelsea di Dean Court malam tadi dan Conte berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

- AFP

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 4:17pm
d