arena

ASFC harap FAS kekal tonggak import

Oleh Syafiq Aznan

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) digesa supaya mengekalkan trio import - Ugo Ukah, Andik Vermansyah serta Rufino Segovia - bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Pandangan itu dilontarkan oleh Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) yang menyifatkan ketiga-tiga pemain itu aset berharga buat The Red Giants sekali gus wajar khidmat mereka dikekalkan.

Presiden ASFC, Mohd Faizal Wahid, berkata FAS tidak seharusnya berlengah mengikat ketiga-tiga pemain itu kerana dibimbangi dipikat pasukan lain.

“Kita sendiri dapat menyaksikan tiga pemain ini sudah memberikan yang terbaik dan mereka begitu bersemangat membantu Selangor musim ini.

“Justeru, FAS perlu mengekalkan mereka bagi mewujudkan kestabilan dalam pasukan. Mereka juga sudah serasi dengan taktikal pasukan yang diterapkan oleh pengendali, P Maniam.

“Jika pasukan terlalu kerap menukar pemain import setiap musim, sudah pasti ia mendatangkan kesukaran kepada jurulatih kerana ada pemain yang tidak sesuai dengan taktikal yang dimahukan dan akhirnya bergelut sehingga perlu mengambil pemain import lain.

“Jangan sampai Selangor menyesal sekiranya pasukan lain mendapatkan khidmat mereka seandainya pengurusan terus berlengah dalam memuktamadkan tawaran kontrak kepada ketiga-tiga pemain terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Faizal turut mengharapkan FAS akan meneruskan polisi memberi peluang kepada pemain Piala Presiden yang berpotensi diserapkan dalam skuad utama musim depan.

“Selangor juara Piala Presiden musim ini, jadi sudah pasti ia membuktikan pasukan ini memiliki pemain yang cukup berbakat dan bersedia untuk ‘dinaikkan pangkat’,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 6:53pm
d