arena

Cristie ungguli LPGA Malaysia Sime Darby

Oleh Farah Azharie

PEMENANG dua kejuaraan utama Cristie Kerr muncul juara kejohanan golf LPGA Malaysia Sime Darby selepas melakukan par 71 pada pusingan akhir untuk menang dengan satu pukulan di TPC Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Pemain Amerika Syarikat berusia 40 tahun itu mengumpul 15 bawah par 269 selepas 72 lubang untuk memastikan kemenangan mengatasi juara bertahan Feng Shanshan dari China.

Jika Shanshan birdie pada lubang ke-18, ia pasti memaksa penentuan play-off.

Selain Shanshan, dua pemain AS, Jacqui Concolino dan Danielle Kang berkongsi kedudukan tangga kedua dengan 14 bawah par 270.

Pemain nombor satu dunia, Ryu So Yeon berkongsi tangga ke-13 apabila menamatkan kempennya dengan 10 bawah par 274 selepas meraih lima birdie, satu bogey dan satu double bogey.

Sementara itu, pemain terbaik negara disandang pemain amatur Winnie Ng di tangga ke-64 apabila dia mengumpul sembilan atas par 293.

Pemenang kelayakan kebangsaan Natasha Andrea Oon menamatkan kempen di tangga ke-67 selepas mengumpul 13 atas par 297, diikuti Michelle Koh di tangga ke-68 (299), Kelly Tan dan Aretha Pan berkongsi tangga ke-70 (301), pemenang pingat gangsa Sukan SEA Nur Durriyah Damian di tangga ke-73 (304), Liyana Durisic berkongsi tangga ke-74 (308) manakala Zulaikah Nurziana Nasser di tangga terakhir (322).

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 7:05pm
d