arena

Kemenangan dramatik Hamilton

Oleh AFP

MEXICO CITY: Lewis Hamilton meraih kejuaraan dunia keempatnya dengan cara tidak dijangka dan dramatik, selepas pelanggaran dengan pesaing kejuaraan Sebastian Vettel di pusingan pertama, dia menamatkan Grand Prix Mexico di tempat kesembilan.

Pemandu 32 tahun Britain itu, yang perlu menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima teratas untuk mengesahkan kejuaraan sekiranya Vettel memenangi perlumbaan, bangkit dari kedudukan terakhir selepas tayar jentera Mercedes dipandunya pancit dan perlu memasuki pit di pusingan pembukaan, manakala Max Verstappen memenangi perlumbaan untuk Red Bull.

Vettel, yang sudah mengumpul empat kejuaraan dunia, menamatkan perlumbaan di tempat keempat untuk Ferrari selepas mengejar kelompok hadapan dari tempat ke-19 berikutan pelanggaran dengan Hamilton. Dia juga terpaksa melakukan hentian pit untuk menukar sayap depan jenteranya.

Kejayaan Hamilton itu menjadikannya pemandu Britain pertama meraih empat kejuaraan, mengatasi Jackie Stewart, dan kini sebaris dengan Vettel serta Alain Prost dari Perancis.

Hanya pemandu Jerman, Michael Schumacher yang memegang rekod dengan tujuh gelaran dan Juan-manuel Fangio dari Argentina dengan lima kejuaraan mengatasi kelompok tiga pemandu berkenaan.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku di selekoh tiga, saya memberikannya ruang yang cukup besar,” kata Hamilton.

“Ia rasa seperti tidak nyata. Ia bukan perlumbaan yang anda idamkan apabila anda ketinggalan 40 saat, tetapi saya tidak pernah berputus asa.”

Selepas lima kemenangan dalam enam perlumbaan sebelumnya, ia cara mengecewakan buat Hamilton - yang sebelum ini berkata dia mahu memenangi gelaran dengan bergaya.

Verstappen memenangi perlumbaan disusuli rakan sepasukan Hamilton Valtteri Bottas dan Kimi Raikkonen dari Ferrari.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 9:31am
d