arena

Napoli kembali terajui Serie A

Oleh AFP

MILAN: Napoli kembali merampas kedudukan teratas Serie A awal pagi tadi sambil mengekalkan rekod tanpa kalah dengan kemenangan 3-1 di Sassuolo, seterusnya mengekalkan jurang tiga mata berbanding Juventus dan Lazio.

Menjelang kunjungan Manchester City dalam Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu, Napoli memberi jawapan kepada kemenangan 2-0 Juventus ke atas AC Milan semalam.

Skuad kendalian Maurizio Sarri mengumpul 31 mata daripada 11 perlawanan, walaupun Inter Milan yang masih belum tewas boleh merapatkan jurang kepada dua mata di Verona hari ini.

Namun jurulatih Napoli itu masih belum gembira dengan skuadnya yang membenarkan Diego Falcinelli menyamakan kedudukan buat Sassuolo pada minit ke-41 selepas pemain Brazil, Allan membuka jaringan pada minit ke-22.

“Apabila kami mendominasi, kami menjadi malas dan ia membuatkan kami berada dalam situasi ini. Bertentangan dengan semua logik, ia tampak kami akan kekal dengan 1-1 pada babak pertama,” kata Sarri.

Jose Callejon kembali memberikan kelebihan buat Napoli sejurus sebelum tamat babak pertama dengan sepakan lencong sebelum pemain Belgium, Dries Mertens melengkapkan jaringan pada minit ke-54.

“Dominasi secara total membuatkan kami hilang rasa bahaya dan itulah aspek yang perlu kami buang,” kata Sarri.

“Kedudukan teratas liga sangat rapat, ketika Napoli dan Inter masih belum tewas manakala Lazio dan Juventus hanya tewas sekali.

“Saya tidak rasa pasukan iji akan meneruskan rentak ini sepanjang musim, dan sama juga dengan kami. Tampak seperti kejuaraan Scudetto akan dimenangi lebih 90 mata.”

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 10:01am
d