arena

Peluang Nadal cipta penamat terindah 2017

Oleh AFP

BASEL, Switzerland: Roger Federer menarik diri daripada Paris Masters minggu depan, sekali gus membuka peluang buat Rafael Nadal untuk menamatkan musim 2017 sebagai pemain nombor satu dunia.

Federer, juara 19 kali Grand Slam, terpaksa mengambil keputusan berkenaan bagi mendapat rehat secukupnya selepas merangkul gelaran kelapan dirinya dalam kejohanan dalam dewan Swiss Indoors di Basel.

Bermain di hadapan penyokong sendiri, Federer, 36, menewaskan Juan Martin del Potro 6-7 (5/7), 6-4, 6-3 untuk kejuaraan ke-95 sepanjang kariernya. Dia kini di tangga kedua di belakang Jimmy Connors yang mengumpul 109 gelaran.

“Badan saya perlukan rehat,” kata legenda tenis Switzerland itu. “Basel terlalu memenatkan saya. Saya mengharungi lima perlawanan dalam tempoh enam hari. Saya kesal dan sedih untuk Paris.

“Saya suka bermain di Bercy, sudah beberapa kali saya tidak bermain di sana. Ia sesuatu yang sukar tetapi mereka perlu memahami yang ia penting bagi saya untuk kekal sihat dan tanpa kecederaan.

“Saya ingin mendapat tahap kecergasan terbaik menjelang London (Final Jelajah Dunia) dan untuk tahun 2018.”

Berdasarkan perkiraan ATP, Nadal mampu meraih gelaran nombor satu dunia dengan memenangi perlawanan pembukaannya (pusingan kedua) di Paris.

Pemain Sepanyol itu akan memulakan kempen di Bercy menentang sama ada pemain Jerman Mischa Zverev atau Hyeon Chung dari Korea Selatan.

Kali terakhir Federer beraksi di Paris ialah pada tahun 2015 dan muncul juara pada tahun 2011.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 10:44am
d