arena

Dominasi Terengganu

Oleh Azlan Muhammad Zain

Nilai: Terengganu membuktikan status sebagai ‘kilang’ atlet berbasikal negara apabila mendominasi Kejohanan Trek Junior Cycling Malaysia (JCM) di Velodrom Nasional Malaysia selepas mengatasi 15 pasukan lain.

Kejohanan yang berlangsung sejak Jumaat dan berakhir semalam menyaksikan anak buah Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan mengumpul 13 emas, empat perak dan enam gangsa.

“Ini adalah pencapaian yang membanggakan kerana kami mampu muncul pasukan yang meraih emas terbanyak. Ada pelumba yang pertama kali beraksi di velodrom bertaraf antarabangsa ini, namun mencapai jangkaan yang diharapkan.

“Secara tidak langsung ia memberikan petanda yang positif menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak, tahun depan,” jelasnya.

Muhammad Afiq Iskandar Hasyim dan Alia Mansor tampil cemerlang apabila muncul penyumbang terbanyak Terengganu apabila masing-masing meraih lima emas.

Mereka turut muncul pemenang emas terbanyak kejohanan.

“Walaupun cemerlang, kita tidak boleh cepat berpuas hati, kami perlu mengenalpasti kelemahan yang ada,” tambahnya.

Pelapis kebangsaan muncul pasukan kedua terbaik apabila meraih tujuh emas, 12 perak dan lima gangsa.

Penganjuran kali pertama acara trek kelolaan JCM membabitkan tiga peringkat umur (15, 17 dan 23 tahun) menarik minat 213 pelumba mewakili 16 pasukan.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 10:55am
d