arena

Farina tekad balas kepercayaan Beasley

Oleh Azlan Muhammad Zain

KEPERCAYAAN yang diberikan ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley mahu dibalas Farina Shawati Mohd Adnan (gambar) dengan meraih kejayaan pada siri pertama Piala Dunia yang berlangsung di Pruszkow, Polang bermula Jumaat ini.

Pelumba berusia 21 tahun yang mewakili pasukan Sime Darby Foundation itu tampil buat kali pertama di pentas Piala Dunia selepas menjalani latihan bersama Beasley di Melbourne sejak 2015.

Sebelum ini, dia sudah mencapai kejayaan pada beberapa kejohanan antarabangsa di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman berkenaan.

“Walaupun sedikit gementar, saya gembira dan teruja apabila jurulatih (Beasley) memberikan kepercayaan kepada saya beraksi di siri Piala Dunia kali ini.

“Ini adalah impian saya untuk beraksi di antara kejohanan terbesar dunia ini.

“Saya meletakkan sasaran awal untuk melangkah ke suku akhir dalam pecut individu, manakala bagi acara keirin, saya cuba mengintai peluang untuk mara ke separuh akhir terlebih dulu.

“Walaupun ini penampilan pertama, saya akan menggunakan pengalaman yang diraih selama ini untuk dimanfaatkan apabila bertanding menentang pelumba handalan dunia,” katanya.

Farina Shawati tidak melihat sasaran peribadinya itu akan menambah tekanan, sebaliknya dianggap sebagai motivasi untuk mencabar diri mempamerkan aksi terbaik apabila turun di velodrom.

Selain tersenarai ke Pruszkow, dia turut disenaraikan untuk beraksi di tiga lagi siri Piala Dunia di Manchester (10 hingga 12 November), Kanada (1 hingga 3 Disember) dan Chile (9 hingga 10 Disember).

Farina Shawati adalah antara kelompok pelumba Malaysia yang akan membawa cabaran negara di Pruszkow - diketuai jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang, serta Shah Firdaus Sahrom dan Fatehah Mustapa.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 7:41pm
d