arena

'Kita mampu benam Korea Utara'

Oleh Nazri Abu Bakar

“MALAYSIA pernah menewaskan Korea Utara pada penentuan tempat ketiga Piala Asia di Tehran 1974 dan mereka juga mampu dikecewakan kali ini,” kata bekas kapten skuad kebangsaan, Datuk Soh Chin Aun.

Legenda bola sepak negara itu melaungkan keyakinan mengenai kemampuan skuad negara menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Thailand pada 10 dan 13 November ini.

Bahkan, Chin Aun percaya perubahan veneu perlawanan yang dipindahkan dari Pyongyang ke Thailand juga boleh dianggap sebagai peluang terbaik buat Harimau Malaya menewaskan skuad berkenaan. 

Baginya, apabila beraksi di gelanggang berkecuali, lawan akan hilang kelebihan selaku tuan rumah kerana sebelum ini, Korea Utara dilihat terlalu gah di laman sendiri.

Menjelang aksi itu, Chin Aun begitu teruja untuk sekali lagi melihat skuad negara menewaskan Korea Utara selepas Piala Asia di Tehran 1974 - hasil kemenangan 1-0.

“Pemain harus beraksi dengan penuh komitmen, menampilkan persembahan terbaik, positif dan agresif untuk meraih enam mata pada dua pertemuan berdepan Korea Utara.

“Jika mampu menang pada baki semua perlawanan kelayakan peluang pasukan mara masih ada walaupun agak sukar.

“Namun kemenangan setidak-tidaknya memberi gambaran bola sepak Malaysia masih memiliki pemain berjiwa besar untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, pemain muda seharusnya diberi lebih banyak ruang untuk membuktikan keupayaan berikutan tenaga yang masih segar mampu dibentuk untuk melawan, berbanding pemain senior yang sedikit kekurangan tenaga walaupun berpengalaman.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 8:44pm
d