arena

Usah kritik Lukaku: Mourinho

Oleh Reuters

LONDON: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menuntut peminat kelab itu supaya terus menyokong penyerang, Romelu Lukaku dengan menyifatkan tidak adil untuk mengkritik pemain antarabangsa Belgium berkenaan.

Selepas meledak tujuh gol dalam Liga Perdana, Lukaku gagal meneruskan ketajaman penyudah dalam tiga perlawanan berikutnya, sekali gus mengundang pelbagai kritikan.

Mourinho menganggap Lukaku berhak mendapat lebih banyak sokongan selepas membantu United dalam dua perlawanan liga terakhir, termasuk yang terbaru ketika mencatat kemenangan 1-0 ke atas Tottenham, Sabtu lalu.

“Saya ingin semua penyokong menjelaskan kepada saya kenapa mereka tidak menyokong Lukaku kerana dia sudah memberikan segala-galanya.

“Saya fikir ia tidak adil, sama ada ketika menjaringkan gol atau tidak menjaringkan gol, (dia) tampil dengan persembahan berbeza,” kata Mourinho kepada laman web kelab itu (www.manutd.com).

“Saya tidak fikir ia adil, jadi saya sedikit kecewa - tetapi bukan terhadap dia (Lukaku), sebaliknya saya gembira dengan persembahannya.”

Keputusan Mourinho mengeluarkan Marcus Rashford berbanding Lukaku yang digantikan dengan Anthony Martial pada minit ke-70 ketika berdepan Spurs disambut dengan sorakan mengejek daripada penyokong di Old Trafford.

Jurulatih kelahiran Portugal itu membalas kritikannya dengan meletakkan jari di bibirnya selepas wisel penamat tetapi terkejut dengan tindak balas penonton.

“Saya benar-benar tidak memahami beberapa reaksi (penyokong),” tambah Mourinho. “Adakah mereka Red Devils? Saya tidak faham kerana mereka (Lukaku dan Martial) bermain dengan baik.”

“Ada masanya dia (Martial) berada dalam kesebelasan utama dan persembahannya bagus, sama juga dengan Rashford dan Lukaku.”

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 11:19pm
d