arena

Khabar gembira buat Celtic

Oleh AFP

BERLIN: Celtic memperoleh khabar gembira menjelang pertembungan Liga Juara-Juara di laman sendiri melawan Bayern Munich, Rabu ini apabila penyerang kelab gergasi Jerman itu, Robert Lewandowski terpaksa diketepikan susulan kecederaan.

Penyerang bintang berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan di paha kirinya ketika kemenangan 2-0 Bayern ke atas RB Leipzig, Sabtu lalu dan kekal di Munich ketika skuadnya bergerak ke Scotland, hari ini.

Lewandowski adalah peledak terbanyak Bayern musim ini selepas menjaringkan 13 gol.

Bayern yang menghuni tangga kedua Kumpulan B memerlukan kemenangan di Glasgow dengan pendahulu, Paris Saint-Germain memiliki kelebihan tiga mata diikuti Celtic ketiga.

Bos Bayern, Jupp Heynckes berharap Lewandowski boleh bermain di Parkhead tetapi kemudian mengambil keputusan untuk merehatkan penyerang Poland itu bagi menghadapi aksi Bundesliga menentang seteru, Borussia Dortmund Sabtu ini.

“Ia langkah berjaga-jaga kerana jurulatih tidak mahu mengambil sebarang risiko. Dia (Lewandowski) akan turun bermain pada Sabtu,” kata Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.

“Jika kami bermain menentang Real Madrid, dia mungkin akan pergi tetapi perlawanan pada Sabtu berada dalam minda kami, iaitu amat penting buat kami.”

Heynckes perlu menambah baik jentera serangannya bertemu juara Scotland itu yang menyamai rekod 100 tahun British minggu lalu apabila melanjutkan kempen tanpa kalah dalam saingan domestik kepada 62 perlawanan.

Selain Lewandowski, Bayern juga kehilangan penyerang Thomas Mueller dan Franck Ribery susulan masalah hamstring dan lutut.

Penyerang gantian, Kwasi Okyere Wriedt pula tidak didaftarkan bagi aksi Liga Juara-Juara yang bermakna hanya penyerang bawah 19 tahun, Manuel Wintzheimer ditambah dalam skuad ketika kunjungan ke Glasgow.

Selepas Lewandowski dipapah keluar pada babak pertama Sabtu lalu, Heynckes menggunakan Thiago Alcantara, Arturo Vidal dan James Rodriguez bagi menjana serangan pada babak kedua tetapi ketiga-tiganya gagal menjaringkan gol.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 11:43pm
d