arena

Ledakan Hendrick pacu momentum Burnley

Oleh AFP

BURNLEY, United Kingdom: Gol pemain antarabangsa Ireland, Jeff Hendrick pada babak kedua memberikan Burnley kemenangan kedua di laman sendiri musim ini awal pagi tadi, mengatasi Newcastle United 1-0 dalam saingan Liga Perdana.

Jaringan pemain berusia 25 tahun itu mengangkat Burnley ke tangga ketujuh namun tumpuan lebih terarah kepada minat Everton terhadap pengurus mereka, Sean Dyche untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Ronald Koeman yang dipecat.

Pasukan bimbingan Rafael Benitez, Newcastle kekal di tangga kesembilan.

Tuan rumah memiliki peluang lebih baik pada 10 minit awal, memberi tekanan terhadap pertahanan Newcastle dan Hendrick sepatutnya melakukan cubaan lebih baik dari jarak dekat pada minit ketiga.

Pemain tengah pelawat, Jonjo Shelvey mendapat peluang terbaik namun sepakan jarak jauhnya berjaya ditangkap penjaga gol Burnley, Nick Pope.

Ashley Barnes, yang menggantikan pemain cedera Chris Wood di bahagian serangan, sepatutnya boleh melakukan cubaan lebih baik apabila dia menerima hantaran lintang Robbie Brady selepas setengah jam namun tandukannya tersasar.

Newcastle semakin hampir mendapatkan gol pembukaan pada awal babak kedua tetapi Pope, yang terbukti selaku pengganti yang hebat buat Tom Heaton yang cedera, menyelamatkan cubaan Ayoze Perez.

Bagaimanapun kesilapan Ayoze yang membawa kepada jaringan Hendrick.

Pemain berusia 24 tahun dari Sepanyol diatasi di kawasan sendiri dan ketika cubaan Jack Cork dikeluarkan Rob Elliot, Johann Gudmundsson menerima bola dan mengumpan kepada Hendrick yang tidak melakukan kesilapan dengan menahan dengan dada dan meledak ke gawang.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 7:29am
d