arena

Abu Bakar puji PKNP

Oleh Azizan Hashim

JURULATIH Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Abu Bakar Fadzim bangga dengan kejayaan kelab itu menduduki tempat ketiga Liga Perdana musim ini.

Bagi Abu Bakar, pencapaian itu nyata di luar jangkaan apabila menyedari skuad bimbingannya menghadapi saingan liga dengan serba kekurangan. Malah PKNP FC hanya ketinggalan satu mata di belakang juara dan naib juara, Kuala Lumpur dan Terengganu yang terikat dengan 47 mata.

“Tahniah kepada pemain kerana dengan kesungguhan mereka berjaya meletakkan pasukan di kedudukan ketiga. “Mereka membuat kelab ini kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pasukan-pasukan elit liga divisyen dua ini,” katanya.

Apa yang membanggakan Abu Bakar ialah kejayaan PKNP FC dicapai tanpa perlu berbelanja besar.

“Kami pasukan bajet kecil berbanding pasukan lain tetapi komitmen pemain cukup tinggi. Pemain bermain dengan sepenuh jiwa dan raga mereka untuk menghasilkan kejayaan ini.”

“Kedudukan tempat ketiga liga ini sebagai hadiah istimewa kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNP, Datuk Aminuddin Md Desa. Beliau individu utama di belakang kejayaan pasukan, tanpa sokongan beliau, tak mungkin semua ini menjadi kenyataan,” katanya.

Mengenai perancangan tahun depan, Abu Bakar berkata, dia akan mengemukakan laporan dan membuat cadangan kepada pihak pengurusan kelab. “Terpulang kepada CEO serta pihak pengurusan pasukan membuat keputusan,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 10:27am
d