arena

Simeone seru Atletico benam Qarabag

Oleh AFP

MADRID: Diego Simeone meminta pasukannya Atletico Madrid untuk membuktikan mereka adalah antara skuad terbaik dunia menjelang pertemuan mesti dimenangi mereka dalam Liga Juara-Juara berdepan Qarabag dari Azerbaijan awal pagi esok.

Atletico hanya mengumpul dua mata daripada tiga perlawanan pembukaan Kumpulan C seterusnya membuatkan peluang mereka untuk mara ke kelompok 16 terakhir buat kali kelima berturut-turut berdepan risiko besar.

Chelsea mendahului kumpulan dengan tujuh mata, diikuti rapat Roma dengan lima mata, dan kegagalan untuk layak adalah ancaman besar untuk prestij Atletico dan kewangan mereka hanya sebulan selepas berpindah ke stadium baharu berkapasiti 68,000 tempat duduk Wanda Metropolitano dengan kos 310 juta euro (RM1.527 bilion).

“Anda sentiasa mahu meningkat, mahu menang, untuk mencapai objektif kelab,” kata Simeone.

“Kami mahu Atletico menjadi antara pasukan terbaik dunia. Ia akan menjadi sesuatu yang buruk jika saya tidak bimbang.”

Di bawah bimbingan Simeone, Atletico mara dua kali ke final selain tampil pada separuh akhir dan suku akhir Liga Juara-Juara sejak empat musim lalu – hanya gagal melepasi pencabar dari bandaraya yang sama Real Madrid pada setiap saingan.Bagaimanapun kurangnya ancaman dari bahagian serangan menyebabkan Los Rojiblancos tidak menyerlah dalam Liga Juara-Juara dan La Liga setakat musim ini dan mereka melepaskan banyak peluang untuk sekadar seri 0-0 di Roma dan Qarabag.

Kembalinya Diego Costa dari Chelsea dengan rekod kelab 55 juta euro (RM270.94 juta) boleh membantu menyelesaikan masalah itu apabila penggantungan setahun FIFA terhadap pembelian pemain baru oleh Atletico berakhir pada Januari. Namun skuad Simeone perlu menghadapinya tanpa Costa untuk melepasi peringkat kumpulan.

“Kejayaan kami sejak beberapa tahun lalu dalam semua kejohanan bermakna jika kami tidak mendapat keputusan yang bagus, akan akan kritikan,” kata Simeone.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 11:30am
d