arena

Najib cabar Khairy

Oleh Aida Adilah Mat

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melontar cabaran kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk membawa sukan negara ke peringkat lebih tinggi dan menjadi kuasa besar di Asia Tenggara.

Cabaran itu boleh dianggap sebagai indeks prestasi utama (KPI) kepada Khairy supaya dapat meneruskan momentum kejayaan atlet negara yang diraih setakat ini.

Najib yang hadir pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sempena temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) dan Sukan Para ASEAN di Arena Axiata, Bukit Jalil turut meluahkan rasa bangga apabila temasya kali ini berjaya melahirkan ramai atlet muda.

“Seramai 231 atlet berusia bawah 21 tahun berjaya menyumbang 112 pingat emas.

“Ia membuktikan kita mempunyai kontinjen muda yang boleh digarap dan digilap untuk mencapai kejayaan lebih besar lagi selepas ini,” katanya.

Perdana Menteri turut menuntut supaya kesemua atlet negara meneruskan momentum kejayaan di kedua-dua temasya itu ke peringkat lebih tinggi dan tidak hanya terhenti di temasya dwi tahunan itu saja.

Katanya, peruntukan RM1 bilion yang diluluskan menerusi Bajet 2018 bertujuan untuk membangunkan sukan negara, bermula daripada program akar umbi serta pelbagai program lain seperti Hari Sukan Negara.

Bagaimanapun untuk mencapai tahap itu, katanya setiap persatuan sukan harus memainkan peranan dan memberi tumpuan lebih kepada atlet dan bukannya berpolitik.

Najib berkata, negara sebenarnya terhutang budi kepada atlet kerana berkongsi kejayaan serta detik manis bersama rakyat Malaysia.

Pada majlis itu juga, atlet negara yang cemerlang meraih 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa di temasya KL2017 serta 90 emas, 85 perak dan 84 gangsa di Sukan Para ASEAN menerima habuan keseluruhan mencecah RM5.53 juta.

Bukan hanya pemenang pingat emas, malah atlet yang meraih perak dan gangsa turut dirai dengan pemberian insentif khas.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 10:32pm
d