arena

Roma lebih dahaga kemenangan: Conte

Oleh AFP

ROME: Stephan El Shaarawy meledak dua kali untuk Roma yang membenam Chelsea 3-0 dan merampas tangga teratas Kumpulan C Liga Juara-Juara daripada juara Liga Perdana Inggeris itu.

Kunjungan balas ke Stadio Olympico selepas keputusan seri 3-3 di London dua minggu lalu tidak menghampakan 55,000 penyokong tuan rumah, sebaliknya mengecewakan kepulangan pengendali Chelsea Antonio Conte ke Itali.

El Shaarawy membuka jaringan seawal minit pertama dan gol keduanya menyusul sembilan minit sebelum rehat - dengan pemain Argentina Diego Perotti melengkapkan kemenangan pada minit ke-63.

Kemenangan kedua dalam empat perlawanan meletakkan Roma semakin hampir dengan kelompok 16 terakhir, memintas Chelsea yang mengharapkan dapat mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati dengan dua perlawanan berbaki.

Roma kendalian Eusebio Di Francesco satu-satunya pasukan yang belum pernah tewas di peringkat kumpulan dan kini mengumpul lapan mata daripada empat perlawanan, satu mata mengatasi Chelsea dengan Atletico Madrid di tangga pada tiga mata selepas diikat 1-1 oleh Qarabag.

“Kami sentiasa berbahaya,” kata Di Francesco. “Ia petang yang hebat buat penyokong kami yang berhak untuk kemenangan ini. Tetapi ia tidak boleh terhenti di sini, perlawanan ini perlu menjadi titik permulaan. Kami sedang menghampiri sesuatu yang penting.”

Persembahan anak buah Conte di Rome tidak banyak beza dengan aksi ketika di Stamford Bridge sebelum ini.

“Saya tidak lihat sesuatu yang positif di babak kedua, ia amat buruk,” kata Conte.

“Roma menunjukkan yang mereka lebih dahagakan kemenangan dan keazaman untuk menewaskan kami. Mereka berhak mendapat kemenangan ini.”

Roma akan bertandang ke laman Atletico Madrid selepas ini manakala Chelsea terpaksa mengharungi perjalanan jauh ke Azerbaijan bertemu Qarabag.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 11:17am
d