arena

Gunners mula hidu slot kalah mati

Oleh AFP

PARIS: Sesudah bermula sempurna dalam kempen Liga Europa, Arsenal boleh memastikan tempat ke peringkat kalah mati dengan berbaki dua perlawanan jika mengalahkan Red Star Belgrade, awal pagi Jumaat ini.

Gunners menjadi hos juara Piala Eropah 1991 itu di utara London dua minggu lalu selepas gol lewat menakjubkan Olivier Giroud membantu kemenangan 1-0 ke atas Belgrade.

Selepas mengatasi Cologne dan BATE Borisov, pasukan kendalian Arsene Wenger itu mengungguli Kumpulan H dengan mata maksimum dan jika mengelak kekalahan menentang pendahulu liga Serbia itu mungkin cukup buat mereka layak ke pusingan 32 terakhir.

Bagi pasukan yang meningkat keyakinannya selepas empat kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, satu lagi kemenangan tidak mungkin menyukarkan sekalipun jika Wenger sekali lagi menggilirkan skuadnya ketika beliau berdepan aksi genting Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City, Ahad ini.

Everton, satu lagi kelab Inggeris dalam pertandingan itu, tidak berada dalam posisi baik apabila mereka bertandang ke Perancis untuk menentang Lyon.

Menghuni zon penyingkiran dalam Liga Perdana dan tanpa pengurus tetap sejak Ronald Koeman dipecat minggu lalu, Toffees mungkin disingkirkan daripada pertandingan Eropah, awal pagi Jumaat ini.

Senario sebegitu akan terjadi jika mereka tewas dan pendahulu Kumpulan E, Atalanta tidak kalah dalam perlawanan menentang Apollon Limassol di Cyprus.

Ia kempen mengecewakan setakat ini buat Everton, yang diikat di laman sendiri oleh Apollon selepas tewas kepada Atalanta dan Lyon bulan lalu.

Mereka kalah kedua-dua perlawanan setakat ini di bawah pengurus sementara David Unsworth, 1-2 di Chelsea dalam Piala Liga dan 0-2 di Leicester City dalam Liga Perdana, namun pemain muda Dominic Calvert-Lewin tetap positif menjelang kunjungan ke Perancis.

“Perlawanan di Chelsea menunjukkan kami boleh bertindak baik, kemudian pada babak kedua menentang Leicester mereka mendahului dua gol tapi kami cuba bersaing hebat dengan mereka bagi 45 minit dan kami jelas pasukan yang lebih baik,” katanya.

“Jika kami boleh meneruskan rentak ini dan memperagakan tahap permainan sebenar kami, maka kami boleh menang.”

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 12:13pm
d