arena

Farah tekad elak lepas gol awal

Oleh Saiful Affendy Sapran

PENJAGA gol skuad hoki wanita negara Farah Ayuni Yahya tidak mahu mimpi ngeri bolos pada lewat permainan dalam dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Asia berulang apabila bertemu juara bertahan, Jepun pada suku akhir di Kakamigahara, Jepun, esok.

Jelas penjaga gol terbaik Asia itu, banyak yang dipelajari daripada kekalahan tipis 4-5 kepada China serta 0-2 di tangan India yang menyaksikan lawan mencipta gol kemenangan pada lewat permainan.

“Dua perlawanan itu memang banyak memberi pengajaran kepada kami. Kekalahan itu menuntut kami untuk lebih fokus dan tidak mudah leka pada minit-minit akhir perlawanan.

“Bukan saya saja, semua rakan sepasukan juga berasa kecewa sebab kami dilihat lebih banyak menguasai permainan ketika bertemu India.

“Kami bekerja keras hingga satu ketika pemain India kelihatan tertekan. Tapi nasib tidak memihak kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Meskipun dilihat berdepan misi sukar bertemu Jepun esok, Farah tetap bersikap positif dan tidak mahu rakan sepasukannya cepat berputus asa.

“Bagi saya peluang masih ada untuk kami mencatat kemenangan. Ini perlawanan kalah mati dan kami tinggal selangkah lagi hendak ke separuh akhir.

“Walaupun pernah menewaskan Jepun sebelum ini pada Trofi Juara-Juara Asia tahun lalu, tapi perlu diingat kali ini mereka bermain di tempat sendiri.

“Harap kami tidak terbawa-bawa perasaan tertekan apabila bertemu mereka esok,” katanya.

JADUAL PERLAWANAN ESOK

SUKU AKHIR

• India mln Kazakhstan (10.45 pagi)

• Jepun mln Malaysia (1 ptg)

• China mln Thailand (3.15 ptg)

• Korea Selatan mln Singapura (5.30 ptg)

(Stadium Hoki Kawasaki Jyukou)

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 12:52pm
d