arena

Isu kecederaan tak rencat Johor DT

Oleh Aziman Rosdi & Rizar Mohd Noor

PERSIAPAN Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menghadapi Kedah pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini dilihat tidak terjejas biarpun skuad itu dibelenggu kes beberapa pemain yang mengalami kecederaan.

Pengendali Johor DT, Ulisses Morais menegaskan antara pemain yang mengalami kecederaan adalah Mohammad Ghaddar, Ahmas Hazwan Bakri, Junior Eldstal dan Gary Steven Robbat dan berharap kesemua pemain itu pulih menjelang final nanti.

Katanya, kecederaan yang mereka alami tidak serius dan mungkin akan tersenarai dalam pasukan itu tetapi jika mereka gagal pulih dalam tempoh sebelum final tidak timbul masalah untuk menurunkan pemain lain.

“Saya masih menilai siapa yang akan beraksi dalam kesebelasan utama dan akan memilih pemain yang berada di tahap kecergasan terbaik selain memastikan pemain yang akan beraksi nanti memiliki kekuatan fizikal dan mental serta ada motivasi diri untuk berjaya.

“Kesemua pemain memiliki kualiti dan keupayaan beraksi di final dan ia cukup membanggakan malah beri ruang buat saya memilih yang terbaik dan pemain juga tampak begitu bersemangat untuk diturunkan dalam aksi final.

“Kami dibarisi 29 pemain dan saya menaruh kepercayaan kepada semua pemain dan akan memilih yang terbaik beraksi pada final nanti dan pemain juga memberi kerjasama selain membentuk persefahaman terbaik sepanjang saya membimbing pasukan itu,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff tatkala skuad Lang Merah terlalu bergantung kepada kelibat Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva Mendonca, bekas jurulatih kelab Portugal SC Beira-Mar menangkis tanggapan itu.

Katanya, kekuatan juara bertahan itu membabitkan kesemua pemain dan tidak terlalu bergantung kepada dua atau tiga tonggak sahaja malah sudah mengkaji kekuatan dan kelemahan skuad itu dan bersedia dengan formula terbaik pada aksi merebut piala tertua di rantau Asia.

“Tidak dinafikan Kedah merupakan pasukan hebat dan berkualiti namun kami sudah mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan itu malah akan merancang taktikal ampuh untuk mengatasi pasukan itu dalam usaha memburu kejuaraan buat Johor DT,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 3:57pm
d