arena

Final idaman 'The Profesor'

Oleh Aziman Rosdi dan Rizar Mohd Noor

BEKAS pemain legenda Johor Nasir Yusof (gambar) menyifatkan pertembungan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah di Stadium Shah Alam Sabtu ini bagi perebutan gelaran Piala Malaysia adalah final yang diimpikan.

Dengan kekuatan dimiliki kedua-dua pasukan itu, beliau mengharapkan aksi permainan berkelas tinggi dapat disajikan buat peminat bola sepak tempatan.

“Ini final yang saya impikan untuk saksikan. Saya harapkan perlawanan penuh taktikal, individual teknikal kemas oleh semua pemain sama ada tempatan dan import untuk beri impak dalam permainan.

“Saya mengharapkan ini akan menjadi final bola sepak moden untuk bola sepak tanah air. Kita mahukan permainan lebih profesional dan bukan hanya mahu mencari kesilapan pengadil, kita mahu menang dan kalah puas hati dengan persembahan,” katanya.

Nasir,55, tidak asing dalam kalangan peminat bola sepak Johor kerana pernah menjulang trofi Piala Malaysia pada 1985 dan sebagai kapten pada 1991.

Beliau yang turut pernah membimbing skuad Johor yakin skuad Harimau Selatan mampu menamatkan penantian peminat negeri itu dan meletakkan harapan kepada penyerang import Mohamad Ghaddar untuk menjadi watak penting kepada pasukan.

“Melihat kepada permainan ini, ia akan tertumpu kepada bahagian serangan, kedua-dua pasukan miliki penyerang bahaya dan saya percaya pengalaman Ghaddar akan membantunya menghidu peluang,” katanya.

Nasir bekas pemain kebangsaan turut dikenali dengan nama gelaran The Profesor yang diberikan bekas jurulatih Johor Michael Urukalo.

“Gelaran The Profesor ini diberikan oleh Urukalo pada 1991. Katanya gelaran itu kerana kemahiran saya dalam mencetuskan idea dalam permainan, taktikal, mengawal tempo permainan serta mengatasi sebarang masalah,” katanya

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 6:45pm
d