arena

Insa tekad julang JDT

Oleh Aziman Rosdi dan Rizar Mohd Noor

PEMAIN perancang Natxo Insa bersedia mengerah segala kudrat yang ada untuk memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa pulang trofi Piala Malaysia yang tidak pernah dimenangi apabila berdepan Kedah pada aksi final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pemain kelahiran Sepanyol yang mendapat taraf kerakyatan Malaysia itu mengakui kepenatan apabila beraksi lebih satu musim dengan menyertai JDT Jun lalu selepas membantu kelab Levante memenangi Segunda

Division untuk layak beraksi dalam La Liga 2017-2018.

Bagi Insa, dia akan melakukan apa saja yang termampu kerana aksi final ini cukup bermakna buat dirinya bersama Johor DT.

“Saya perlu berehat, saya bermain mungkin 55 perlawanan tahun ini (bersama Levante dan JDT). Saya bermain lebih satu musim dan badan tidak mempunyai rehat. Tapi final Piala Malaysia ini adalah perlawanan terakhir maka saya akan berikan sebanyak mana tenaga yang ada dalam perlawanan itu nanti.

“Saya hanya mahu fokus perlawanan terakhir dan tamatkan musim ini dengan baik. Saya tahu ia perlawanan sukar kerana final adalah 50-50 tapi kami tetap yakin,” katanya.

Kehadiran Insa yang dibawa masuk pada pertengahan musim nyata memberi impak kepada skuad kendalian Ulaisse Morais yang turut merangkul kejuaraan Liga Super serta mara ke final Piala Malaysia selepas 2014.

Insa yang juga abang kepada pemain Pahang Kiko percaya final adalah perlawanan berbeza dan mereka seharusnya melupakan kekalahan kepada Kedah pada perlawanan Sumbangsih awal tahun ini selain hanya seri 0-0 pada aksi terakhir Liga Super di Alor Setar Sabtu lalu.

“Saya hanya mahu menikmati final ini. Kami ada peluang untuk menang dua piala musim ini, kami mahu bergembira dengan penyokong dan berusaha untuk memenangi piala. Kami ada pemain yang bagus dan tidak perlu takut sebaliknya fokus pada permainan selama 90 minit, tunjukkan kesungguhan dan menikmati permainan,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan jika dipanggil tahun depan, Insa berkata: “Sudah pasti, tapi saya kena berehat untuk berada di tahap terbaik terlebih dahulu.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 9:10pm
d