arena

Nuraini janji robek gawang Jepun

Oleh Naqib Nor Said

PAKAR pukulan sudut penalti Malaysian Tigress, Nuraini Rashid berjanji akan sekali lagi merobek gawang Jepun apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi suku akhir Piala Asia di di Kakamigahara, Jepun, esok.

Dalam pertemuan kompetitif terakhir Trofi Juara-Juara Asia 2016 antara kedua-dua pasukan itu, Nuraini berjaya menyumbat gol ketika membantu Malaysia membenam pasukan negara matahari itu 2-0 sekali gus pencapaian terbesar skuad wanita negara di era hoki moden ini.

Malah, Nuraini yang menjadi tonggak pasukan pada Sukan SEA dengan mencetak enam gol pasti ghairah, apatah lagi selepas hanya berjaya menyumbat satu gol sepanjang tiga aksi kumpulan di Piala Asia ini.

“Sudah tentu saya mahu jaringkan gol jika mempunyai peluang, tetapi bagaimanapun saya masih perlu tajamkan flick saya pada perlawanan esok,” katanya sebentar tadi.

Nuraini yang juga anak jati Pahang diletakkan harapan tinggi, tetapi setakat ini buntu dalam menyudahkan pukulan sudut penalti kecuali ketika Malaysia menumbangkan Singapura 8-0 dalam aksi kedua, Ahad lalu.

Sebaliknya, Malaysian Tigress yang berkedudukan ranking ke-22 dunia lebih banyak menghasilkan gol menerusi gerakan padang apabila daripada 12 gol setakat ini menyaksikan hanya empat terhasil menerusi pukulan sudut penalti.

Walaupun di atas kertas, kelebihan ranking lebih memihak kepada Jepun (ke-11 dunia) tetapi jika berdasarkan keputusan dua pertemuan terakhir, Malaysia mempunyai peluang yang cerah untuk mengatasi pasukan naib juara Kumpulan B di belakang Korea Selatan itu.

“Suku akhir adalah pentas berbeza, pasukan yang memanfaatkan setiap peluang yang akan mara. Jadi misi kita dalam aksi ini adalah untuk mencari gol awal dan cuba bermain dengan corak menyerang.”

Sebagai rekod, Jepun tewas 0-2 kepada Malaysia di Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Singapura dan terikat 2-2 dengan skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah dalam aksi pemanas badan sebelum bermula kejohanan ini.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 11:30pm
d