arena

Intai dua kemenangan lagi

Oleh Badlishah Mohamad Ali

Kuala Lumpur: Penang Black Panthers memerlukan hanya dua kemenangan saja dari baki empat perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan Sepaktakraw League (STL) Premier 2017.

Dengan 18 mata hasil sembilan kemenangan setakat ini, pasukan bimbingan Helmi Ismail itu ibarat berada dalam kelas tersendiri dan semakin jauh meninggalkan pencabar lain.

Malah, pencabar terdekat, Terengganu Turtles yang mengumpul 12 mata juga sudah mengangkat ‘bendera putih’ dalam misi mengejar kedudukan pendahulu biarpun berjaya meraih kemenangan dengan menewaskan Johor Tigris dalam aksi terakhir sebelum saingan berhenti rehat selama dua minggu, Ahad lalu.

Pasukan dari pantai timur itu kini mengalih tumpuan untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua namun ia bukan mudah buat mereka apatah lagi mereka sedang diekori rapat Kelantan Warriors, ATM Guardians dan Perak Bison yang mengumpul 10 mata.

Dengan tiket beraksi di STL Champions Cup menjadi rebutan tiga pasukan terbaik STL Premier, cabaran dua pasukan dari Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur Thunder dan Selangor Pistons juga tidak boleh dipandang enteng.

Semua enam pasukan itu menamatkan saingan minggu kelima dengan mencatat satu kemenangan untuk menghidupkan peluang masing-masing. Justeru, tiada pasukan yang boleh disifatkan mempunyai kelebihan atau dilabel pilihan.

Kekuatan semua pasukan dilihat seimbang dan sedang bersaing sengit sesama mereka sekali gus menjadikan pertarungan enam penjuru yang semakin mendebarkan.

Sementara itu, pada ketika Penang Black Panthers menghampiri kejuaraan dan enam pasukan memburu kedudukan tiga teratas, Johor Tigris pula berada dalam zon bahaya dan sedang berjuang untuk mengelak dari tersingkir ke saingan Divisyen Satu musim depan.

Pasukan itu gagal memperbaiki kedudukan mereka di tangga tercorot selepas tewas buat kali kelapan dan perlu tampil dengan aksi luar biasa untuk memenangi semua baki perlawanan jika berhasrat mengubah nasib.

Pasukan mana yang akan berada di kelompok tiga teratas seterusnya menyambar slot beraksi di STL Champions Cup dan siapa pula yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada STL Premier? Apakah akan ada kesudahan penuh dramatik bagi saingan musim ini?

Semuanya cukup sukar untuk diramal dan saingan lebih rancak dijangka apabila ia kembali bersambung selepas rehat dua minggu dengan semua pasukan pastinya memanfaatkan kesempatan untuk memperkemas dan menajamkan semula sentuhan.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 9:05am
d