arena

Patut Vingada kumpul pemain impian awal

Oleh Firdaus Hashim

BEKAS pemain kebangsaan era 1960-an, Datuk M Karathu menganggap kehadiran beberapa tonggak utama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sudah terlambat untuk membantu skuad Harimau Malaya.

Tegas bekas pengendali Perak dan Kelantan itu, jika Nelo Vingada dapat menghimpunkan ‘pemain impiannya’ lebih awal, mungkin kempen kelayakan Piala Asia 2019 akan menjadi mudah dan tidak mustahil Harimau Malaya mampu meraih kemenangan.

“Akhirnya selepas sekian lama, jurulatih (Nelo Vingada) dapat juga membariskan pasukan terbaik sejak memulakan tugas pada Mei lalu.

“Saya pun tak faham sebenarnya, kenapa baru sekarang pemain ini (pemain utama Johor DT) dibenarkan menyertai pasukan kebangsaan, sedangkan misi untuk layak (pusingan akhir Piala Asia) makin tipis.

“Walaupun alasan mereka adalah kerana kecederaan atau masalah kecergasan, tetapi menerusi gambar latihan di facebook pasukan (Johor Southern Tigers) menunjukkan pemain itu cergas dan elok baik saja.

“Bukan saya saja hairan, malah orang lain pun mesti tertanya-tanya. Bagaimanapun, kedatangan mereka kali ini cukup baik dan diharapkan Malaysia mampu mencapai kemenangan ke atas Korea Utara nanti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harimau Malaysia dijadualkan bertemu Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand pada 10 dan 13 November ini.

Senarai terkini 24 pemain yang dipanggil Vingada menyaksikan kembalinya beberapa pemain dari skuad Harimau Selatan.

Seramai 12 pemain Johor DT dipanggil kali ini dengan menyaksikan Izham Tarmizi Roslan, Fadhli Shas, Fazly Mazlan, Junior Eldstal, S Kunanlan dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham kembali memperkuatkan skuad.

Kali terakhir Izham, Fazly, Junior dan Kunanlan mewakili negara adalah pada Jelajah Oceania, Jun tahun lalu, manakala Fadhli dan Azrif pula pada perlawanan persahabatan, tahun lalu.

“Saya masih ingat ketika Malaysia menewaskan Timor Leste dengan agregat 6-0 (playoff kelayakan Piala Asia 2019) di Larkin tahun lalu, jurulatih waktu itu (Datuk Ong Kim Swee) menggunakan hampir 70 peratus tonggak JDT.

“Hasilnya cukup membanggakan, malah persembahan kita juga amat baik.

“Saya yakin, kalau dari awal pemain ini tidak disimpan dan mendapat kerjasama kelab, pasti keputusan lebih positif mampu diraih ketika menentang Lubnan dan Hong Kong,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia tewas dua dan seri sekali untuk menghuni tangga tercorot Kumpulan B, dengan hanya satu mata daripada tiga aksi.

Namun, keputusan positif berdepan Korea Utara mampu menghidupkan semula peluang untuk merebut tempat ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 1:31pm
d