arena

Kedah, Kelantan, Melaka dapat lesen

Oleh Firdaus Hashim

KEDAH, Kelantan dan Melaka United menjadi tiga pasukan baharu yang berjaya mendapatkan lesen kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super musim depan.

Ia sekali gus mengikut jejak tujuh lagi pasukan yang sudah berjaya lulus lebih awal sebelum ini iaitu Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Pahang, Perak, PKNS FC, Pulau Pinang, Selangor dan T-Team.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, lesen yang diberikan kepada tiga kelab itu hanya lesen FAM namun ia tidak membabitkan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Permohonan mereka yang sebelum ini ditolak kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan akhirnya diluluskan oleh badan rayuan pelesenan kelab FAM pada mesyuarat Jumaat lalu,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

“Malah, daripada tujuh pasukan yang mendapat lesen daripada First Instance Body pelesenan kelab FAM sebelum ini, empat daripadanya iaitu JDT, Pahang, PKNS dan Selangor turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab AFC.

“Ia bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC atau Piala AFC 2018, jika layak,” katanya yang menghargai kesungguhan kelab untuk memastikan mereka memenuhi kriteria ditetapkan meskipun ditolak sebelum ini.

Bagaimanapun, Hamidin mengesahkan masih ada dua lagi kelab iaitu FELDA United dan Sarawak gagal meraih lesen selepas tidak memenuhi salah satu daripada enam kriteria yang ditetapkan iaitu kewangan walaupun sudah diberikan tempoh lanjutan.

“Bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran kakitangan, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017,” katanya.

Lesen FAM dan AFC itu sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi 2018 dan sepanjang musim berkenaan.

Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 3:02pm
d