arena

ISN sedia 'settel' luar

Oleh Mohd Khairie Khalid

INSTITUT Sukan Negara (ISN) sedia berunding di luar mahkamah andai tiga bekas penembak negara - Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Suryani Taibi - mahu berbuat demikian.

Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, berkata bagaimanapun pihaknya perlu mendapat nasihat daripada peguam dilantik terlebih dulu selain menegaskan tidak akan tunduk terhadap tuntutan ketiga-tiga bekas penembak terbabit.

“Kita akan tunggu nasihat daripada peguam. Jika mereka hendak selesaikan di luar mahkamah, alhamdulillah, tapi kita akan lihat juga perkara apa yang hendak diselesaikan di luar mahkamah.

“Takkan kita hendak terus setuju apa yang disarankan atau dicadangkan mereka, kita tengok dulu bagaimana,” kata Abdul Azim selepas majlis perasmian Program Inisiatif Pendidikan Berterusan Kursus Tahap 1 buat atlet dan bekas atlet, hari ini.

Program anjuran ISN dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) itu dirasmikan Penaung YAKEB, Datin Seri Rosmah Mansor. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pada 30 Oktober lalu, ketiga-tiga bekas penembak terbabit mengambil tindakan mengejut apabila memfailkan saman di Mahkamah Kuala Lumpur bagi membersihkan nama mereka selepas mendakwa digugurkan daripada program Podium mengikut cara yang salah dan menyalahi perjanjian yang sepatutnya.

Abdul Azim bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu itu.

“Kita sudah lantik peguam, jadi kita dinasihatkan tidak memberikan apa-apa komen. Biar peguam yang selesaikan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Azim berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan mengenai penambahan atau penyingkiran atlet program Podium kerana perlu melakukan persiapan menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia, tahun depan.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 6:48pm
d