arena

Usah tekan mereka: Soon Kit

Oleh Fabian Peter

CHEAH Soon Kit tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada dua pasangan negara yang baru dipisahkan, Goh V Shem-Teo Ee Yi dan Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin untuk mendapatkan keputusan yang baik.

Malah ketua jurulatih beregu lelaki itu yakin kombinasi dua pasangan negara itu akan bertambah baik apabila mereka diberi peluang untuk menyertai lebih banyak kejohanan.

Pada Terbuka Perancis minggu lalu, kedua-dua beregu negara itu terkandas pada pusingan kedua namun masing-masing tewas kepada beregu keempat dunia dari China Liu Cheng-Zhang Nan dan Mathias Boe-Carsten Mogensen yang kini menghuni ranking kedua dunia.

Soon Kit yang kini berada di Saarbrucken, Jerman menyaksikan Terbuka Bitburger ketika dihubungi berkata: “Masih terlalu awal untuk mengulas mengenai kombinasi kedua-dua pasangan itu kerana ia adalah kejohanan pertama yang disertai mereka.

“Jika anda tanya kepada saya, saya akan katakan bahawa ia satu permulaan yang bagus buat mereka meskipun tewas di pusingan kedua kerana kami dapat lihat di mana kedudukan mereka jika dibandingkan dengan pasangan handalan dunia.

“Sudah pasti banyak perkara yang perlu dilakukan terutama apabila mereka perlu menyesuaikan diri pasangan dengan cara bermain.”

Esok, V Shem-Ee Yi akan menentang beregu China He Jiting-Tan Qiang di pusingan kedua manakala Wee Kiong-Yew Sin akan berdepan beregu kelayakan Peter Lang-Thomas Legleitner.

Sementara itu pasangan Nur Mohd Azriyn Ayub-Ooi Zi Heng akan turun menentang pilihan ketiga Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet dari Thailand.

Bagaimanapun mengulas mengenai sasaran dalam tempoh terdekat ini selepas pemenang pingat gangsa temasya Olimpik Rio itu dipisahkan Soon Kit berkata, beliau kini sedang berusaha keras untuk membentuk pasangan itu.

“Pada peringkat ini kami memberi tumpuan kepada kekurangan mereka,” katanya.

Turut turun beraksi adalah beregu wanita negara Soong Fie Cho-Tee Jing Yi yang akan berdepan pilihan kedua Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand.

Manakala Lee Zii Jia akan turun pada pusingan ketiga bertemu pilihan keenam dari China Qiao Bin dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin menentang Huang Yuxiang dari China.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 8:46pm
d