arena

Gunners mara, Everton singkir: Liga Europa

Oleh AFP

PARIS: Arsenal mara ke pusingan 32 terbaik Liga Europa ketika Everton tersingkir dan Patrice Evra pula dilayangkan kad merah kerana ‘sepakan ala karate’ ke atas penyokong Marseille - sebelum aksi bermula, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Arsene Wenger diikat 0-0 dengan Red Star Belgrade di Emirates, dan satu mata yang diraih sudah cukup melayakkan mereka ke pusingan kalah mati, meskipun masih ada baki dua perlawanan Kumpulan H.

Jack Wilshere - yang dipinggirkan pengurus England, Gareth Southgate baru-baru ini - mempunyai peluang terbaik untuk meledak jaringan, namun percubaannya di babak kedua itu tersasar.

Keputusan itu membenarkan the Gunners melanjutkan rekod tanpa kalah mereka di laman sendiri kepada 16 perlawanan, dalam kesemua kejohanan disertai.

“Jika kamu tidak boleh memenangi perlawanan, jangan sia-siakannya. Kami tidak gembira dengan keputusan ini tetapi akan tetap menerimanya,” kata Wilshere.

Pertahanan veteran Marseille, Evra pula diarah keluar padang selepas melakukan sepakan ala katare ke atas seorang penyokong pasukannya, sebelum perlawanan menentang Vitoria Guimaraes di Portugal.

Bekas bintang Manchester United, Evra, 36, terbabit dengan satu pertelingkahan bersama sekumpulan penyokong di satu sudut yang dikhas buat 500 penyokong Marseille, sebelum menghayunkan tinggi kakinya ke arah seorang daripada mereka.

“Pat mempunyai pengalaman dan dia tidak seharusnya bersikap sebegitu,” kata jurulatih Marseille, Rudi Garcia yang menyaksikan pasukannya tewas 0-1 dan Boubacar Kamara juga diarah keluar padang, tiga minit sebelum permainan tamat.

“Patrice adalah lebih daripada pemain berpengalaman. Kamu tidak boleh bertindak balas dengan buruk seperti mereka kerana mereka adalah antra seorang penyokong kami. Dia harus belajar untuk tenangkan diri.”

Insiden itu pantas mengimbau memori lama di mana pemain bola sepak Perancis sebelum ini pernah melakukan ‘sepakan ala kungfu’.

Pada Januari 1995, Eric Cantona yang beraksi bersama Manchester United melakukan sepakan tinggi ke arah penyokong Crystal Palace yang mengejek dirinya selepas diarah keluar padang di Selhurt Park.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 10:22am
d