arena

Boleh tarik diri daripada F1 selepas 2020

Oleh Reuters

LONDON: Ferrari boleh menarik diri daripada Formula Satu (F1) selepas 2020, jika pemilik baru sukan itu memilih arah bertentangan dengan kepentingan pengeluar kereta ternama Itali itu, kata pengerusinya, Sergio Marchionne.

Marchionne memberitahu meskipun dia menyokong pengurangan kos, namun terdapat beberapa isu strategik yang masih dibincangkan dan mungkin memaksa Ferrari untuk mempertimbangkan perlumbaan lain untuk disertai.

“Ia (Formula Satu) sudah lama menjadi DNA kami sejak kami ditubuhkan,” katanya. “Namun jika kami mengubahnya ke titik di mana ia menjadi sesuatu yang tidak dikenali, saya tidak mahu untuk beraksi lagi.”

Ditanya bagaimanakah perasaannya apabila menjadi ketua pegawai eksekutif yang mendorong Ferrari beralih daripada saingan F1, Marchionne berkata; “Seperti jutaan dolar kerana saya harus berusaha dengan strategi alternatif untuk mencuba dan menggantikannya. Yang lebih rasional juga.”

Ferrari adalah satu-satunya pasukan yang berada dalam F1 sejak musim pertama kejuaraan dunia pertama pada 1950 dan paling berjaya serta terkenal, meskipun mereka tidak pernah meraih gelaran sejak 2008.

Secara keseluruhannya, mereka mempunyai rekod 228 kemenangan dalam perlumbaan, 16 gelaran pengeluar dan 15 bagi kategori pemandu.

F1 juga menerima kenyataan betapa Grand Prix Monaco dan Ferrari menjadi tonggak asas sukan ini dan status perkongsian keuntungan kedua-dua pihak ini menggambarkan status istimewa dimiliki mereka.

Ferrari meraikan ulang tahun syarikat yang ke-70 tahun ini dan menjadi sumber utama yang menjadi kebangsaan Itali.

F1 berada di bawah pemilik baharu sejak Januari lalu, ketika syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Liberty Media itu juga mengambilalih hak komersial serta menyingkirkan bekas supremo, Bernie Ecclestone.

Liberty mahu menyusun semula lapangan perlumbaan dan mengimbangi pendapatan sebaik saja persetujuan bersama pasukan ketika ini berakhir pada hujung 2020.

Kertas cadangan untuk enjin baru, lebih murah dan mudah dibentangkan di Paris, Selasa lalu. Satu mesyuarat dijadual akan berlangsung minggu depan antara Kumpulan Strategi Sukan bagi membincangkan mengenai perubahan lain.

“Liberty mempunyai beberapa hasrat yang baik, antara satunya mengenai mengurangkan kos pelaksanaan untuk pasukan, yang saya fikir bagus,” kata Marchionne.

Namun dia berkata, Ferrari dan Liberty kelihatan seperti ‘agak bertentangan daripada segi pembangunan strategik’ selepas 2020.

“Saya fikir kamu perlu jelas, jika kami tidak menemui penemuan diinginkan, keputusan yang memberi manfaat kepada penyelenggaraan jenama di pasaran dan pengukuhan posisi unik buat Ferrari, maka Ferrari tidak akan beraksi,” katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 2:11pm
d