arena

Dhaarma dedah punca kalah

Oleh Naqib Nor Said

KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah mendedahkan masalah kepenatan menjadi punca di sebalik pemainnya sering bolos di hujung permainan termasuk ketika tumbang 0-2 kepada Jepun pada suku akhir Piala Asia di Jepun, semalam.

Faktor itu jelas terpampang bukan saja dalam aksi menentang Jepun tetapi juga ketika tumbang kepada China 4-5 dan India 0-2 yang menyebabkan mereka hilang fokus dan mudah melakukan kesilapan pada suku keempat selepas beraksi baik pada 45 minit pertama.

“Cuma aksi suku akhir dengan Jepun semalam agak seimbang sebelum kami melepaskan dua gol di suku keempat dan saya fikir ia berpunca daripada pemain kepenatan.

“Ini kerana ada pemain yang terpaksa beraksi penuh 60 minit susulan jurang prestasi antara pemain simpanan dan utama yang agak jauh menyebabkan saya tidak berani mengambil risiko melakukan sistem penggiliran terutama untuk bahagian pertahanan,” katanya.

Malah, Dhaarma percaya persembahan pasukannya kali ini lebih baik berbanding apa yang diperagakan sewaktu saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL), Julai lalu.

“Sekarang kami lebih banyak mendapat pukulan sudut penalti berbanding sebelum ini. Tapi apa pun mereka perlu didedahkan lebih banyak dengan aksi berkualiti supaya biasa dengan permainan seumpama ini.”

Kegagalan di Kakamigahara itu secara tidak langsung menutup sisa-sisa perjuangan Malaysian Tigress untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 menerusi pintu juara zon Asia.

Sebaliknya, skuad bimbingan Dhaarma di ranking ke-22 dunia itu hanya akan beraksi dalam playoff tempat kelima hingga kelapan esok bertemu Kazakhstan (nombor 34 dunia) yang tewas teruk 1-7 kepada pasukan pilihan, India pada satu lagi suku akhir semalam.

Skuad negara bagaimanapun dijangka tidak berdepan masalah menewaskan Kazakhstan dan akan bertemu pemenang antara Thailand dan Singapura pada penentuan tempat kelima dan keenam, Ahad ini.

Sebagai rekod, Malaysian Tigress sering muncul pasukan kelima terbaik Asia di belakang India, Korea Selatan, China dan Jepun dengan pencapaian tempat ketiga sewaktu edisi pertama kejohanan di Seoul pada 1985 terus gagal diulangi.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 11:24pm
d