arena

Skuad negara gagal tamat badi

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

SKUAD futsal negara terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Kejuaraan AFF 2017 selepas tewas 3-4 kepada Thailand pada aksi final di Stadium Phu Tho, Ho Chi Minh City, Vietnam, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Chiew Chun Yong gagal menamatkan badi kekalahan kepada Thailand selepas tewas dengan jaringan sama pada Sukan SEA 2017, Ogos lalu sebelum kecundang 3-6 pada aksi peringkat Kumpulan B, Kejuaraan AFF, Sabtu lalu.

Pada aksi sebentar tadi, skuad negara bermula baik apabila mendahului Thailand 2-1 pada babak pertama hasil jaringan Awalluddin Mat Nawi dan Ridzwan Bakri pada minit kelima dan ketujuh sebelum Tanachot Sosawaeng merapatkan kedudukan pada minit ke-12.

Awalluddin menambah gol ketiga Malaysia pada minit ke-23, namun Thailand berjaya bangkit menerusi jaringan Muhammad Osamanmusa dan Jetsada Chudeh pada minit ke-27 dan 31.

Ronnachai Jungwongsuk meleburkan harapan anak didik Chun Yong apabila meledak gol kemenangan Thailand pada masa tambahan (minit ke-44) selepas aksi penuh selama 40 minit berkesudahan seri 3-3.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 11:48pm
d