arena

Penyokong OKU meriahkan final

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

BIARPUN ditenggelami puluhan ribu peminat Kedah, sekumpulan penyokong kalangan orang kelainan upaya (OKU) tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pasukan mereka berentap dengan Johor Darul Ta’zim pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

Bagi Abdul Malik Said, tiada kata yang dapat digambarkan anak jati Pendang, Kedah itu selain teruja apabila kali pertama dapat hadir ke stadium untuk menyaksikan Kedah di pentas akhir.

Bekas anggota tentera itu berkata, dia tiba di Shah Alam kira-kira jam 5.30 pagi tadi bersama 10 rakan termasuk tiga OKU dengan menaiki van.

Turut bersama Malik yang bertolak dari Kedah jam 11 malam semalam adalah dua kawannya yang juga OKU iaitu Yahya Mat dan Mohd Riduan Khalid.

“Kepenatan perjalanan jauh tidak terasa kerana sangat teruja pertama kali dapat menyaksikan pasukan Kedah beraksi di final dengan lebih dekat berbanding sebelum ini hanya menonton menerusi televisyen.

“Sebelum ini, saya memang tidak melepaskan peluang ke stadium jika Kedah beraksi di Alor Setar. Jadi, kali ini saya datang dari jauh dengan harapan Kedah dapat mempamerkan aksi terbaik.

“Saya rasa dengan pemain yang ada Kedah boleh menang 3-1,” katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Sementara itu, Yahya berkata ini adalah kali kedua dia hadir ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan final Piala Malaysia selepas pulang dengan gembira musim lalu apabila Kedah merampas kejuaraan piala berprestij itu daripada Selangor.

“Saya harap Kedah dapat menjulang Piala Malaysia sekali lagi dan mengulangi pencapaian musim lalu.

“JDT juga pasukan yang kuat, tapi saya yakin Kedah boleh menang 2-1,” katanya.

Rakannya, Riduan, 28, pula meletakkan sasaran paling tinggi apabila meramal Kedah mampu menewaskan JDT 3-0.

“Pemain Kedah yang saya paling minat Liridon Krasniqi, tapi malam ini saya rasa Baddrol Bakhtiar, Sandro Da Silva dan Syafiq Ahmad akan menjaringkan gol,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 8:41pm
d