arena

Khas buat TMJ, penyokong JDT: Morais

Oleh Zulfaizan Mansor

JURULATIH Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Ulisses Morais mendedikasikan kejuaraan Piala Malaysia kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan seluruh penyokong setia skuad Harimau Selatan.

Morais menjelaskan, TMJ dan penyokong berhak untuk mendapat hadiah piala berprestij itu selepas usaha dan sokongan padu yang diberikan hingga Johor DT berjaya mencipta pelbagai kejuaraan.

“Saya amat gembira. Tahniah kepada barisan kejurulatihan dan semua pemain kerana tanpa mereka, kami tidak akan berjaya.

“Bagi saya ini hadiah untuk bos saya, TMJ dan juga penyokong kerana mereka juga kami berada di final dan menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama, malam ini,” kata Morais pada sidang media selepas perlawanan, sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Shah Alam sebentar tadi, Johor DT tidak menunggu lama untuk berada di depan hasil jaringan Aidil Zafuan Radzak yang menanduk masuk sepakan penjuru Safiq Rahim pada minit ketiga.

Gonzalo Cabrera kemudian menambah gol kedua apabila menyudahkan hantaran Hazwan Bakri pada minit ke-63 untuk mengesahkan kejuaraan buat skuad Harimau Selatan.

Kemenangan menyaksikan Johor DT mencipta sejarah baru kelab itu apabila menjulang Piala Malaysia buat kali pertama, sekali gus melengkapkan koleksi trofi utama saingan tempatan yang dimenangi mereka.

Mengulas mengenai perlawanan akhir itu, Morais berkata, semangat pemainnya yang bekerja keras hingga wisel penamat menjadi kunci kejayaan menewaskan juara bertahan Kedah.

“Mereka (pemain) tidak berhenti bekerja keras di tengah padang dan hasilnya, kami berjaya mengawal permainan dan menjaringkan gol,” ujarnya.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 12:57am
d