arena

Hup Wei masih mahu tabur bakti

Oleh Aida Adilah Mat

ATLET lompat tinggi negara Lee Hup Wei tetap bersemangat dan tidak berhasrat untuk bersara biarpun sekadar meraih perak pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) Ogos lalu.

Malah dia tetap positif untuk diberi peluang berlatih di bawah bimbingan jurulatih Alex Stewart bersama rakan senegara Nauraj Singh Randhawa.

Biarpun masih tiada sebarang maklum balas diterima daripada Majlis Sukan negara (MSN), Hup Wei tetap mengusulkan perkara berkenaan untuk dipertimbangkan sebagai persediaan menghadapi temasya Komanwel Gold Coast dan juga Sukan Asia Jakarta/Palembang tahun depan.

Ketika ini Hup Wei yang pernah beraksi di temasya Olimpik Beijing dan London tetap fokus meneruskan latihan seperti biasa kerana sudah melayakkan diri ke Sukan Komanwel dan Asia.

“Saya sedang menunggu program baru daripada MSN dan selepas itu baru boleh merangka perancangan selanjutnya.

“Jika boleh memang saya harap dapat bersama Alex kerana programnya banyak membantu memperbaiki lompatan saya,” katanya yang pernah mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk berlatih bersama Stewart sebelum ini.

Mengulas mengenai sasarannya pada penyertaan kali kedua di Sukan Komanwel selepas Delhi 2010, dia mahu berusaha memperbaharui catatan terbaik peribadi iaitu 2.27m yang dilakukan sebelum ini di Terbuka China 2008.

Bagaimanapun, Hup Wei mengakui cabaran di Sukan Komanwel adalah lebih sukar berbanding Sukan Asia.

Untuk rekod Hup Wei pernah meraih emas di temasya Sukan SEA sebanyak tiga kali berturut-turut bermula pada 2007 di Manila, Vietnam dan Palembang sebelum Nauraj mengambil alih takhta penguasaan dalam acara itu.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 3:45pm
d