arena

Mirnawan sokong cadangan MHC

Oleh Saiful Affendy Sapran

KESUNGGUHAN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang mengharapkan skuad hoki lelaki negara diserap ke dalam Program Podium hingga sanggup mencadangkan untuk bertolak ansur dalam soal kewangan, disambut baik legenda hoki negara Datuk Mirnawan Nawawi.

Jelas Mirnawan, cadangan Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal itu membuktikan badan induk itu benar-benar serius mahu hoki berada dalam Program Podium.

Katanya, mengambil kira prestasi semasa skuad negara ketika ini serta persiapan sepanjang tahun depan, memang selayaknya untuk skuad hoki negara mendapatkan bantuan dan sokongan sains sukan secara menyeluruh menerusi Program Podium.

“Kerjasama seperti itu (bantuan kewangan) sememangnya perkara yang perlu ada antara persatuan serta badan seperti MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara).

“Tapi perkara yang paling penting skuad hoki lelaki ketika ini sememangnya memerlukan sokongan tambahan membabitkan sains sukan dan ini hanya dapat direalisasikan sekiranya mereka diserap ke dalam Program Podium.

“Bantuan sokongan yang ada sekarang sudah baik tapi sekiranya kita mahu melihat peningkatan demi peningkatan daripada skuad hoki lelaki termasuklah memastikan mereka mampu meraih pingat di Sukan Asia tahun depan, maka sokongan tambahan amat diperlukan.

“Bagi saya, skuad negara bukannya suka-suka mahu masuk ke Program Podium, tapi memang sudah tiba masanya untuk mereka mendapat sokongan sains sukan secara menyeluruh,” katanya.

Subahan menerusi laporan semalam berkata, pihaknya memahami kewangan menjadi faktor utama pertimbangan untuk skuad hoki lelaki dimasukkan ke dalam Program Podium seliaan ISN.

Justeru itu, beliau berkata, pihaknya sedia untuk mengadakan perbincangan dengan ISN dalam soal kewangan seperti menanggung sebahagian daripada kos sekiranya skuad hoki lelaki negara diserap ke dalam program itu.

Skuad negara berhak diserap ke dalam Program Podium selepas layak secara merit ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India menerusi kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu selain mencipta sejarah kali pertama muncul naib juara pada Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, bulan lalu.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 6:54pm
d