arena

Higuain, Cuadrado selamat maruah juventus

Oleh AFP

MILAN: Juventus merapatkan jurang ke puncak Serie A, selepas merakam kemenangan 2-1, ke atas kelab tercorot, Benevento ketika pendahulu, Napoli sekadar seri tanpa jaringan dengan Chievo, dalam saingan awal pagi tadi.

Dalam aksi itu, gol jaringan Amato Ciciretti di babak pertama (minit ke-19) meletakkan Benevento di depan dan mengejutkan Juventus.

Benevento kelihatan mampu untuk mencalar sambutan ulang tahun ke-120 Juve apabila Ciciretti meledak hasil sepakan percuma menewaskan Wojciech Szczesny -menyaksikan Juventus ketinggalan buat kali pertama dalam kempen musim ini.

Namun, Gonzalo Higuain dan Juan Cuadrado masing-masing berjaya meledak jaringan pada minit ke-57 dan ke-65 untuk membolehkan juara enam kali itu meraih tiga mata berharga.

Higuain melakukan sepakan voli yang tepat menuju ke penjuru gawang untuk gol penyamaan sebelum Cuadrado memastikan gol kemenangan melalui tandukan.

Napoli pula sekadar seri 0-0 di Verona dan meraih 32 mata daripada 12 perlawanan, - satu mata di depan Juventus yang memintas Inter (kini di tangga ketiga), manakala Inter Milan pula sekadar seri 1-1 menentang Torino.

Kekalahan pagi tadi menyaksikan pendatang baharu, Benevento yang digelar ‘Le Streghe’ (Ahli Sihir) kini tewas semua 12 aksi dalam kempen musim ini, - menyamai rekod permulaan musim paling buruk dalam lima liga utama Eropah yang dialami Manchester United pada 1930.

“Ia kelihatan tidak begitu baik, tetapi kami perlu bertenang, lebih tajam dan tidak gopoh,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

“Semua perlawanan adalah sukar,” kata Allegri. “Memenangi perlawanan bukannya mudah atau boleh diambil mudah,”

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 12:30pm
d