arena

'Sukar halang City'

Oleh AFP

MANCHESTER: Arsene Wenger terpaksa menerima hakikat bahawa Manchester City pastinya ‘sukar dihalang’ untuk menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris terutamanya jika pengadil terus menyebelahi mereka.

Pengurus Gunners itu menuduh penyerang City Raheem Sterling sengaja menjatuhkan badan selepas berjaya mendapatkan penalti yang memastikan mereka menang 3-1 ke atas Arsenal di Etihad malam tadi.

Wenger ternyata berang dengan tindakan pengadil Michael Oliver yang memberikan sepakan penalti selain gol yang didakwa pengurus Arsenal itu sebagai ofsaid.

“Saya percaya itu bukan penalti,” kata Wenger. “Kita tahu yang Raheem Sterling sengaja menjatuhkan badan dan dia melakukannya dengan baik.

“Gol ketiga pula adalah ofsaid. Saya amat kecewa kerana kami masih berpeluang pada kedudukan 2-1. Gol ketiga memusnahkan segala-galanya dan secara kebetulan pasukan tuan rumah sentiasa terlepas dengan kesalahan mereka.

“Malang sekali perlawanan itu berakhir sedemikian. Saya kecewa. Anda boleh terima jika City menang secara normal, mereka pasukan yang bagus tetapi ini sukar diterima,” kata Wenger selepas perlawanan itu yang menyaksikan pasukannya ketinggalan 12 mata berbanding pendahulu.

“Musim lalu kami kehilangan dua gol kerana ofsaid dan ia berlaku lagi. City pasti sukar dihalang.”

City mencatat 10 kemenangan dan satu seri daripada 11 pelawanan awal musim ini, mencetuskan spekulasi mereka mampu mengulangi pencapaian skuad ‘Invincibles’ Arsenal kendalian Wenger yang menamatkan kempen Liga Perdana 2003/04 tanpa sebarang kekalahan.

“Lihat, adakah sesiapa mampu menghalang mereka?” soal Wenger.

“Pastinya sukar menghalang mereka dengan permulaan cemerlang, pencapaian dan kualiti yang dimiliki mereka.

“Mereka pasti sukar dihalang tetapi anda tidak boleh mengalah. Namun jika keputusan menyebelahi mereka di laman sendiri, mereka pasti sukar dihalang.”

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 1:02pm
d