arena

Penyokong Real 'tak bersemangat'

Oleh Reuters

TURKI: Bekas pertahanan Real Madrid Pepe melabelkan peminat kelab La Liga itu sebagai ‘tidak bersemangat’, membandingkan suasana sunyi Santiago Bernabeu dengan sorakan hebat yang diterimanya ketika ini daripada penyokong juara Turki Besiktas.

Bintang Portugal meninggalkan Real untuk menyertai Besiktas pada Julai selepas menjulang tiga gelaran La Liga, dua Piala Raja-Raja dan tiga trofi Liga Juara-Juara.

Di sebalik kejayaan yang dicatatnya di Sepanyol, Pepe mengkritik penyokong Real dalam satu temubual di Turki.

“Mungkin peminat Real Madrid tidak suka saya berkata begini tetapi apabila mereka katakan peminat Real Madrid menyalurkan semangat, saya tidak fikir begitu. Itu bukan realitinya,” kata Pepe, 34, awal pagi tadi.

“Peminat Besiktas jauh lebih bersemangat. Apabila anda turun ke padang sorakan dari penonton sentiasa menyentuh hati anda.”

Suasana meriah di laman Besiktas Vodafone Arena menjadi tumpuan September lalu apabila penyerang RB Leipzig Timo Werner meminta untuk ditukarkan sewaktu mereka tewas 0-2 dalam aksi Liga Juara-Juara, kelab Jerman itu berkata pemain itu mengalami masalah peredaran darah dan berasa pening akibat bunyi bising.

“Suasana di Besiktas jauh berbeza berbanding Real Madrid. Di Turki, rakyatnya benar-benar cintakan sukan, mereka hanya memikirkan mengenai bola sepak,” kata Pepe.

“Selepas perlawanan, kita boleh mendengar sorakan penyokong hingga awal pagi.”

Real berdepan kempen awal yang sukar sejak pemergian Pepe, mengalami kekalahan berturut-turut kepada pendatang baru La Liga, Girona dan Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Juara-Juara minggu lalu dankini di tangga ketiga dalam aksi domestik, lapan mata ketinggalan berbanding pendahulu Barcelona dan empat mata di bekakang Valencia.

Selepas tewas 1-3 kepada Tottenham di laman lawan, Cristiano Ronaldo mengakui pasukan itu kehilangan sentuhan pemain seperti Pepe, James Rodriguez dan Alvaro Morata yang meninggalkan kelab itu.

Real menewaskan Las Palmas 3-0 Ahad lalu namun penyokong berang dengan prestasi penyerang Karim Benzema, apabila mengejek pemain Perancis itu sebaik dia ditukarkan pada separuh masa kedua.

Pepe menjadi tumpuan pada kempen keduanya di Sepanyol kerana menendang pemain Getafe Javier Casquero selepas mengasarinya dan menumbuk Juan Albin dalam satu perlawanan pada April 2009, menyebabkannya digantung 10 perlawanan, sebelum memberitahu dia ‘hilang kawalan’.

Dia dibuang padang empat kali ketika bersama Real, termasuk akibat menjatuhkan pemain Barca Dani Alves pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara 2011 tetapi tetap dikenang peminat kerana aksi penuh bersemangat dan gandingan mantapnya bersama Sergio Ramos.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 8:52am
d