arena

KEPDA sambut baik keputusan Nidzam

Oleh Rodly Fadly

KELAB Penyokong Bolasepak Kedah (KEPDA) menyambut baik kesediaan Nidzam Adzha Yusof (gambar) untuk melepaskan tugas ketua jurulatih dengan harapan naib juara Piala Malaysia 2017 itu mendapatkan khidmat jurulatih lebih berwibawa.

Pengerusi KEPDA, Nor Asmadi Hamzah berkata kegagalan Kedah mempertahankan Piala Malaysia apabila tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim, Sabtu lalu, membuktikan Nidzam belum bersedia untuk terus memikul tanggungjawab besar sekalipun membantu pasukan itu menjuarai Piala FA pada musim ini.

“Kami tidak berniat memperkecilkan sumbangan Nidzam kepada pasukan ini namun amat jelas beliau belum bersedia untuk memacu Kedah ke peringkat lebih tinggi.

“Walaupun selepas menggantikan (Tan) Cheng Hoe, beliau menerajui Kedah menjuarai Piala FA namun prestasi pasukan ini jelas tidak konsisten dalam Liga Super.

“Kami hanya mampu menduduki tangga keempat meskipun pada satu ketika mempunyai potensi untuk mencabar kejuaraan. Sebaliknya pasukan seperti FELDA yang sebelum itu berada di kelompok pertengahan berjaya memintas kami.

“Kekalahan dalam final Piala Malaysia jelas membuktikan Nidzam masih cetek pengalaman untuk menyaingi jurulatih Johor DT (Ulisses Morais).

“Berdasarkan kemampuan pemain, kedua-dua pasukan memiliki barisan seimbang, cuma kelebihan Johor DT adalah kemampuan jurulatihnya menerapkan taktikal yang betul untuk mengatasi Kedah.

“Faktor cetek pengalaman diakui oleh Nidzam sendiri malah beliau dengan rela bersedia untuk melepaskan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih kepada orang lain,” kata Nor Asmadi.

Justeru KEPDA berharap Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak mengambil masa yang lama untuk melantik jurulatih baru sebagai persiapan awal menghadapi musim 2018.

Malah, Nor Asmadi berkata, KFA tidak perlu memandang jauh untuk mencari pengganti Nidzam dengan menamakan Azraai Khor Abdullah sebagai calon yang berkelayakan.

“Azraai pernah membawa Kedah melakukan ‘double treble’ pada 2007 dan 2008 serta membantu Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia pada 2011.

“Kami yakin beliau masih mempunyai sentuhan untuk mengemudi Kedah kembali sebagai pencabar ketiga-tiga piala di samping menghadapi Piala AFC kelak. Nidzam pula boleh dikekalkan sebagai penolong jurulatih,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 11:48am
d