arena

Nidzam patut kekal

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) digesa supaya terus mengekalkan Nidzam Adzha Yusoff dalam senarai pasukan Kedah bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Presiden kelab penyokong, Kedah Soccer Fans (KSFC), Muhammad Rizal Mohamad Mustaffa berkata Nidzam sudah membuktikan kemampuan dan khidmatnya perlu diteruskan sekurang-kurangnya sebagai penolong jurulatih.

“Kenapa Nidzam perlu angkat kaki daripada terus memimpin pasukan sedangkan beliau sendiri masih boleh menjawat penolong jurulatih. Beliau seorang jurulatih yang hebat dan berjaya mengangkat martabat bola sepak Kedah.

“Walaupun mengambil alih pasukan bagi menggantikan Tan Cheng Hoe, beliau berjaya menerajui pasukan menjuarai Piala FA. Selain mengekalkan Nidzam selaku penolong jurulatih, KSFC juga berharap KFA tidak ambil masa terlalu lama untuk melantik jurulatih baharu,” katanya.

Ketika ini, nama bekas pengendali skuad Helang Merah, Ramon Marcote sedang hangat diperkatakan sebagai calon mengisi jawatan ketua jurulatih yang disifatkan oleh penyokong sebagai calon paling sesuai.

Mengulas perkhabaran ini, Muhammad Rizal menyambut baik kerana yakin penyokong lain juga percaya kemampuan Marcote menerajui Kedah.

“KFA tunggu apa lagi? Harapan penyokong untuk melihat Marcote dapat menerajui Kedah musim depan. Kenapa perlu terus menunggu sedangkan beliau memang layak menerajui Helang Merah.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 2:40pm
d