arena

'Kami sedia lepaskan jawatan'

Oleh Aizat Sharif

TIGA ahli politik yang berada dalam kepimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bersedia melepaskan jawatan mereka sebagai menyambut saranan Pergerakan Pemuda UMNO negeri itu.

Tindakan diambil mereka juga bertitik tolak selepas insiden segelintir penyokong Kedah yang memalukan Menteri Besar Kedah yang juga Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dengan melaungkan 'boo' kepadanya sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Selangor, Sabtu lalu.

Dalam kenyataan media hari ini, pucuk pimpinan tertinggi KFA itu melihat ada baiknya ahli politik tidak memegang jawatan dalam persatuan bola sepak supaya mereka dapat menumpukan tugasan lain seperti berkhidmat kepada masyarakat.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Amirudin Omar berkata, beliau bersedia meletakkan jawatan sekiranya cadangan itu dipersetujui demi mengambil kira kemahuan penyokong setia skuad Lang Merah itu.

“Saya bersetuju dengan saranan Pemuda UMNO Kedah supaya orang yang memegang jawatan politik dalam KFA meletakkan jawatan dan cadangan itu sebagai memberi ruang kepada pihak yang lain yang berminat menerajui persatuan.

“œSaya melihat cadangan itu adalah demi kebaikan bola sepak Kedah dan juga menjaga nama baik pemimpin politik yang sering disalahkan apabila timbul sesuatu isu seperti yang kita lihat dalam isu tiket final Piala Malaysia baru-baru ini.

“Sebagai mengambil kira kemahuan penyokong setia Kedah, saya sedia untuk meletakkan jawatan sekiranya cadangan itu dipersetujui,” katanya.

Bagi Naib Presiden KFA, Datuk Othman Aziz Naib pula, laungan ‘boo’ oleh penyokong Kedah itu bagaikan tidak setimpal dengan jasa dan pengorbanan yang sudah lakukan oleh Ahmad Bashah sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Presiden KFA.

“Hanya kerana dipengaruhi sentimen individu tertentu mereka hilang kewarasan. Jangan hanya kerana benci seseorang, kita lupa kepada jasa beliau terhadap pembangunan bola sepak Kedah selama ini.

“Oleh itu, saya bersedia meletakkan jawatan selaku Naib Presiden KFA sekiranya saranan Pemuda UMNO Kedah itu dipersetujui,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden KFA, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, sekiranya keputusan itu dimuktamadkan, beliau bersedia melepaskan jawatan serta berjanji untuk terus memberikan sokongan kepada KFA meskipun tidak lagi memegang apa jua jawatan dalam persatuan itu.

“Namun saya tetap kecewa apabila Presiden KFA dihentam sebilangan pihak.

“Ini adalah tindakan tidak beradab terhadap seorang Presiden KFA yang juga Menteri Besar dan tidak boleh dimalukan sebegitu rupa,” katanya.

Sementara itu, ahli Exco KFA, Datuk Yusof Ismail pula berpendapat mengambil kira keadaan semasa perlawanan akhir Piala Malaysia tempoh hari ada baiknya Ahmad Bashah melepaskan jawatan beliau itu.

“Saya tahu beliau amat sayang pasukan bola sepak Kedah, tetapi sekiranya mengambil kira keadaan semasa final Piala Malaysia, saya merasakan ada baiknya beliau melepaskan jawatan.

“Cadangan Pemuda UMNO Kedah saya lihat demi kebaikan supaya Menteri Besar seperti beliau tidak lagi dipandang rendah hanya kerana permainan bola sepak.

“Saya percaya Pemuda UMNO Kedah sendiri sudah melihat sedalamnya skop yang luas terhadap perkara ini sebelum membuat cadangan itu dan ini juga demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Semalam, Pemuda UMNO negeri itu mencadangkan Ahmad Bashah mempertimbangkan melepaskan jawatannya sebagai Presiden KFA berikutan tindakan segelintir penyokong Kedah yang memalukan beliau ketika perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Ketuanya, Datuk Saiful Hazizi Zainal Abidin berkata, pihaknya menyifatkan tindakan segelintir penyokong Kedah yang melaungkan 'boo' kepada Menteri Besar adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan biadap.

itu.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 4:24pm
d